SPRM tahan pemilik syarikat kemuka dokumen palsu RM90,000

SPRM tahan pemilik syarikat kemuka dokumen palsu RM90,000

SUSPEK yang juga pemilik syarikat pembinaan dibawa ke mahkamah untuk mendapatkan perintah reman terhadapnya di Alor Setar.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Seorang lelaki ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kedah kerana disyaki mengemukakan dokumen mengandungi butir matan palsu kepada sebuah institusi kewangan pembangunan bagi pembiayaan pembelian dron bernilai kira-kira RM90,000.

Menurut sumber, lelaki berusia lingkungan 50-an itu ditahan kira-kira pukul 12 tengah hari semalam ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Kedah.

“Siasatan awal mendapati suspek yang juga pemilik sebuah syarikat pembinaan disyaki melakukan perbuatan tersebut pada tahun 2024.

“Suspek dipercayai mengemukakan sebut harga kepada institusi kewangan berkenaan, namun tiada urusan jual beli dron berlaku,” katanya di sini hari ini.

Perintah reman selama tiga hari sehingga 30 April ini terhadap lelaki itu dikeluarkan Majistret Fatin Dalilah Khalid selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret di sini, hari ini.

Sementara itu, Pengarah SPRM Kedah, Datuk Nazli Rasyid Hj. Sulong mengesahkan penahanan tersebut dan kes disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN