Tragedi 3 beranak: Anak risau gagal hubungi bapa sejak Isnin

Tragedi 3 beranak: Anak risau gagal hubungi bapa sejak Isnin

PASANGAN suami isteri, Zikri Abdul Rahman dan Suraya Man yang ditemukan meninggal dunia di Kampung Belau, Merbok di Sungai Petani.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUNGAI PETANI: Anak kandung kepada mangsa kes bunuh mula risau apabila tidak berjaya menghubungi bapa dan ibu tirinya sejak Isnin lalu.

Menurut adik ipar mangsa, Anuar Idris, 54, anak saudaranya itu ada menghubunginya untuk meminta pertolongan kerana dua hari tidak menerima khabar daripada ibu bapanya.

“Sebaik menerima panggilan telefon dari anak saudara lebih kurang pukul 8 malam tadi, saya bergegas ke rumah mereka yang tidak jauh dari rumah saya sambil ditemani beberapa rakan sekampung.

“Kami mencari sekeliling rumah dan sewaktu meninjau melalui tingkap di bahagian ruang tamu saya melihat sofa dipenuhi darah dan pada masa sama nampak dengan jelas kesan titisan darah dari ruang tamu ke bahagian dapur selain dua gulungan karpet turut dibasahi darah,” katanya.

Dalam kejadian itu, Zikri Abdul Rahman, 65, yang bekerja sebagai pekebun dan isterinya, Suraya Man, 53, seorang tukang cuci dipercayai dibunuh anak mereka dengan badan dipotong kepada beberapa bahagian sebelum ditutup dengan karpet.

Mayat anak kandung Suraya berusia 29 tahun yang disyaki pelaku kejadian itu pula ditemui di tingkat atas rumah dengan kesan kelar pada leher dan dipercayai baru meninggal dunia ketika ditemukan awal pagi tadi.

Sementara itu tambah Anuar, dia kemudian memanggil pelaku yang dilihat berada di bahagian atas rumah, namun tiada jawapan balas diterima.

“Bimbang sesuatu yang buruk dan demi keselamatan kami, saya menghubungi polis dan sebaik empat anggota datang mereka memecah pintu bahagian atas rumah yang dikunci dari dalam,” katanya.

Menurut Anuar, selepas pintu berjaya dibuka dia melihat pemuda itu dalam keadaan terlentang dan tidak bergerak dengan kesan kelar di bahagian leher.

“Saya kemudian diminta membuat pengecaman dan nampak dengan jelas mayat abang dan kakak ipar yang tidak sempurna. Sebaik berjaya menenangkan diri saya menghubungi anak lelaki mangsa memaklumkan keadaan yang berlaku di rumah itu,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×