ALOR SETAR: “Saya sudah beli rumah di Merbok supaya nanti boleh bertukar ke kampung untuk dekat dengan keluarga. Tetapi sekarang semua sudah tiada.”
Demikian luah Muhammad Syahmi Zikri, 24, anak kepada pasangan warga emas, Zikri Abdul Rahman, 65, dan Suraya Man, 53, yang maut dalam satu tragedi di Merbok.
Muhammad Syahmi yang juga seorang anggota tentera berkata, dia menerima perkhabaran duka itu pada awal pagi daripada bapa saudaranya.
“Saya hanya dimaklumkan tentang kematian ibu ketika dihubungi. Apabila tiba di sini, barulah saya mengetahui keseluruhan kejadian,” katanya ketika ditemui di pekarangan Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), hari ini.
Anak bongsu pasangan itu hadir di HSB bagi menuntut jenazah untuk urusan pengebumian di Tanah Perkuburan Islam Masjid Al Atiq, Merbok selepas selesai bedah siasat.
Jenazah salah seorang mangsa selesai dibedah siasat dan dituntut kira-kira pukul 3.30 petang tadi.
Sementara itu, seorang ahli keluarga yang ingin dikenali sebagai Man, 40, berkata, mereka mula berasa tidak sedap hati apabila gagal menghubungi mangsa sejak Isnin lalu.
“Saya menghubungi mereka berkali-kali untuk memaklumkan hasrat datang beraya, tetapi tiada jawapan. Keesokan harinya, telefon sudah dimatikan dan kami mula risau.
“Kami cuba bersangka baik mungkin mereka keluar beraya, namun kira-kira pukul 3 pagi tadi kami dimaklumkan tentang kejadian sebenar,” katanya.
Menurutnya, individu yang terlibat dalam kejadian itu sebelum ini menunjukkan tanda kemurungan, namun enggan mendapatkan rawatan walaupun telah dipujuk keluarga.
“Secara luaran dia kelihatan normal, tetapi sebenarnya sering menyendiri dan bercakap seorang diri. Arwah bapa saudaranya juga pernah memaklumkan perkara itu kepada kami,” ujarnya.
Tambahnya, tragedi tersebut memberi kesan mendalam kepada keluarga, khususnya Muhammad Syahmi yang kini kehilangan kedua-dua ibu bapanya.
“Kami akan memastikan kebajikannya terus terjaga,” katanya. – UTUSAN








