PETALING JAYA: Sebanyak 306,230 tangkapan direkodkan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) sepanjang tempoh tiga tahun sehingga 2025.
Jumlah itu membabitkan kira-kira 242,075 kes dadah dikesan JSJN dalam tempoh terbabit.
Pengarah JSJN, Datuk Hussein Omar Khan berkata, dalam tempoh tiga tahun kebelakangan ini sejak 2023 hingga tahun lalu, kes dan tangkapan berkaitan kesalahan dadah meningkat di seluruh negara.
Menurutnya, sepanjang tempoh itu, jumlah keseluruhan kes dadah yang direkodkan ialah 73,340 kes pada tahun 2023 meningkat kepada 81,090 kes pada tahun 2024 dan seterusnya 87,645 kes pada tahun 2025.
“Jumlah tangkapan keseluruhan turut menunjukkan peningkatan daripada 94,799 orang kepada 102,201 orang dan seterusnya 109,230 orang.
“Peningkatan ini membabitkan kes berkaitan bekalan dan pemilikan dadah, dengan rampasan serta tangkapan membabitkan dadah utama seperti syabu, ketamin, MDMA dan ganja, serta penglibatan pengedar dan sindiket terancang termasuk rangkaian tempatan dan antarabangsa,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini semalam.
Hussein berkata, siasatan membabitkan bekalan disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952, Seksyen 39A(2) ADB, Seksyen 39A(1) ADB dan Seksyen 6B ADB.
“Manakala bagi memiliki pula kes disiasat mengikut Seksyen 12 (3) ADB 1952, Seksyen 6 akta sama, Seksyen 9 Akta Racun 1952 dan Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952.
“JSJN melihat hala tuju dasar dadah negara dalam tempoh lima tahun akan datang bukan sebagai pilihan antara penguatkuasaan atau pencegahan, tetapi sebagai peralihan strategik daripada pendekatan reaktif kepada pendekatan pencegahan menyeluruh,” katanya.
Beliau berkata, penguatkuasaan akan kekal tegas dan tidak berkompromi terhadap sindiket, pengedar dan rangkaian kewangan jenayah.
“Namun, fokus nasional akan semakin diperkukuh di peringkat akar umbi melalui pencegahan awal berasaskan pendidikan, komuniti dan institusi keagamaan, kawalan menyeluruh terhadap bahan prekursor dan rantaian bekalan dan intervensi awal sebelum ketagihan berlaku, khususnya dalam kalangan belia.
“Pendekatan ini didorong oleh kesedaran bahawa setiap penagih baharu adalah kegagalan pencegahan, bukan kejayaan penguatkuasaan.
“Matlamat JSJN adalah jelas iaitu mengurangkan permintaan, melumpuhkan bekalan, dan melindungi generasi akan datang sebelum mereka terjerumus ke dalam kitaran ketagihan dan jenayah,” katanya. – UTUSAN










