PETALING JAYA: Sebanyak 37,028 kilogram bahan buangan elektronik atau e-waste dirampas oleh Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) di Pelabuhan Klang Barat dekat sini hari ini.
Rampasan itu hasil pemeriksaan ke atas dua buah kontena yang disyaki membuat pengikraran palsu kira-kira pukul 9 pagi.
Hasil pemeriksaan, pihak AKPS menemukan bahan buangan elektronik seperti alat kawalan jauh, papan kekunci, mesin kad kredit dan unit pemproses komputer (CPU) serta mesin cetak resit.
Komander AKPS Pelabuhan Klang, Datuk Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, sebanyak enam kontena diperiksa secara fizikal selepas melalui mesin pengimbas kontena di Pelabuhan Klang Barat.
Katanya, dua kontena yang dikesan telah memasuki negara pada Disember tahun lalu dan bulan ini dipercayai telah memalsukan pengikraran dagangan dalam sistem maklumat Kastam.
“Pemeriksaan mendapati salah satu kontena diikrar sebagai ABS flakes, manakala satu lagi diikrar sebagai mesin industri,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Turut terlibat dalam pemeriksaan itu ialah Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), SIRIM, Lembaga Pelabuhan Klang dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor.
Nik Ezanee memberitahu, kontena yang mengandungi e-waste itu akan ditempatkan di kawasan selamat sementara menunggu notis daripada JAS Selangor dan JAS pusat untuk tujuan eksport semula.
Beliau menegaskan, kemasukan Bahan Buangan Terjadual adalah dilarang sama sekali menurut Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.
“AKPS akan meneruskan pemeriksaan ke atas kontena dagangan yang disyaki membawa sisa terlarang.
“Selain itu, kawalan dan penguatkuasaan di pintu masuk negara akan diperkukuh bagi memastikan kedaulatan sempadan dan kepentingan negara sentiasa terpelihara,” katanya. – UTUSAN










