PETALING JAYA: Sebanyak 4,048 kemalangan melibatkan kenderaan berat direkodkan di seluruh negara dengan 1,457 kematian dalam tempoh lima tahun dari 2019 hingga 2024.
Daripada jumlah itu, seramai 261 pemandu kenderaan berat dikenal pasti positif dadah hasil pemeriksaan yang dijalankan oleh Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK).
Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT), Datuk Seri Muhammed Hasbullah Ali berkata, statistik menunjukkan trend peningkatan bilangan pemandu kenderaan berat yang dikesan positif dadah walaupun jumlah kemalangan maut melibatkan kenderaan berat menurun pada tahun 2025 berbanding 2024.
Menurut beliau, kemalangan maut melibatkan kenderaan berat dianggarkan menyumbang sekitar dua hingga tiga peratus daripada keseluruhan kemalangan maut jalan raya setiap tahun.
“Negeri seperti Kelantan, Terengganu, Perlis dan Kedah serta laluan utama Pantai Timur dan utara Semenanjung mencatatkan statistik tertinggi kes membabitkan pemandu kenderaan berat di bawah pengaruh dadah.
“Bagi tahun 2023, jumlah tertinggi direkodkan dengan 777 kes kemalangan melibatkan 235 kematian,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
Beliau berkata, menerusi operasi bersepadu yang dilaksanakan dalam tempoh sama, seramai 276 pemandu kenderaan berat diperiksa dan 21 daripadanya didapati positif dadah sebelum dikenakan tindakan undang-undang.
“Peratusan pemandu yang dikesan positif dadah dianggarkan sekitar tujuh hingga lapan peratus.
“Kategori umur paling ramai terlibat ialah antara 20 hingga 39 tahun, manakala kebanyakan kes berlaku pada waktu malam serta melibatkan perjalanan jarak jauh,” ujarnya.
Muhammed Hasbullah menegaskan, JSPT memandang serius isu pemandu kenderaan berat yang positif dadah kerana ia memberi ancaman besar terhadap keselamatan jalan raya.
“Kami akan terus memperkukuh operasi bersepadu bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan AADK bagi membanteras penyalahgunaan dadah dalam kalangan pemandu kenderaan berat.
“Penguatkuasaan tegas akan diteruskan bagi memastikan pemandu mematuhi undang-undang serta mengutamakan keselamatan pengguna jalan raya,” katanya.
Pada 5 Februari lalu, Utusan Malaysia melaporkan kebanyakan pemandu kenderaan berat mengambil dadah ketika memandu bagi mengelak keletihan serta meningkatkan daya tahan fizikal ketika perjalanan jarak jauh.
Ketua Pengarah AADK, Datuk Ruslin Jusoh berkata, berdasarkan soal siasat sepanjang operasi bersepadu, penggunaan dadah khususnya jenis perangsang amphetamine-type stimulants (ATS) dipercayai digunakan sebagai kaedah mengelak mengantuk dan menangani tekanan akibat jadual penghantaran barang yang ketat. – UTUSAN










