PETALING JAYA: Seorang lagi pegawai tinggi Angkatan Tentera Malaysia (ATM) ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini.
Penahanan itu dilakukan pada pukul 11 pagi tadi bagi membantu siasatan lanjut kes rangkaian kartel tender perolehan Tentera Darat.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, bekas Panglima Tentera Darat (PTD) dan dua isterinya telah dibebaskan kelmarin.
“Kesema mereka dibebaskan pada pukul 6.30 petang.
“Sebarang kemaskini mengenai kes ini akan dimaklumkan dalam sidang akhbar di SPRM esok,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Pada 6 Januari lalu, seramai 17 pengarah syarikat ditahan reman SPRM kerana disyaki terlibat dalam rangkaian kartel tender perolehan Tentera Darat.
Kesemua suspek terdiri daripada sembilan lelaki dan lapan wanita berusia lingkungan 20 hingga 60-an.
Kesemua suspek disyaki membayar wang rasuah kepada pegawai kanan Tentera Darat sebagai balasan mendapatkan projek-projek pembekalan dan penyelenggaraan.
Pada 8 Januari, lima individu termasuk bekas PTD bersama dua isteri turut direman.
Kira-kira 26 buah syarikat disyaki terlibat dalam tender perolehan Tentera Darat telah disiasat SPRM. – UTUSAN










