Angkatan siber: Dari pertahanan digital ke ekonomi negara

Angkatan siber: Dari pertahanan digital ke ekonomi negara

ANGKATAN Siber bukan sekadar cabang baharu ATM, tetapi benteng baharu kepada kedaulatan, keyakinan ekonomi dan kemakmuran Malaysia.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KETIKA ancaman terhadap sesebuah negara tidak lagi datang hanya melalui sempadan darat, laut dan ruang udara, konsep pertahanan negara juga perlu berkembang.

Pada hari ini, sebuah negara boleh mengalami gangguan besar tanpa sebutir peluru dilepaskan.

Sistem kewangan boleh dilumpuhkan, rangkaian komunikasi boleh diganggu, data strategik boleh dicuri dan operasi infrastruktur kritikal boleh terjejas melalui serangan yang berlaku dalam ruang digital.

Memuatkan artikel berkaitan…

Atas realiti inilah langkah Angkatan Tentera Malaysia (ATM) ke arah penubuhan Angkatan Siber sebagai cabang keempat ATM menjelang 2030 perlu dilihat dalam kerangka yang jauh lebih luas daripada aspek ketenteraan semata-mata.

Pada 19 September 2026, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin melancarkan Tim Nukleus Angkatan Siber sebagai langkah awal untuk merancang, menyelaras dan membangunkan keperluan penubuhan angkatan tersebut.

Angkatan Siber kelak akan menyatukan keupayaan siber yang kini wujud dalam cabang perkhidmatan ATM serta memperkukuh kesiapsiagaan menghadapi ancaman keselamatan moden.

Persoalan yang perlu diberikan perhatian ialah: apakah implikasi ekonomi apabila Malaysia menambah satu lagi cabang dalam struktur pertahanannya?

Jawapannya bergantung kepada bagaimana pembangunan Angkatan Siber dilaksanakan.Jika dilakukan secara strategik, kewujudan cabang baharu ini bukan sekadar meningkatkan kos pertahanan negara.

Ia berpotensi menjadi pelaburan strategik yang membangunkan modal insan, teknologi, industri tempatan dan ketahanan ekonomi Malaysia.

Pertahanan kini memasuki ekonomi digital

Secara tradisional, perbelanjaan pertahanan sering dikaitkan dengan pembelian kapal, pesawat, kenderaan perisai, senjata dan pembangunan infrastruktur ketenteraan. Angkatan Siber mengubah struktur permintaan tersebut.

Keperluannya akan lebih tertumpu kepada kecerdasan buatan (AI), keselamatan siber, analitik data, kriptografi, perisian, rangkaian komunikasi selamat, teknologi awan, sistem command-and-control serta teknologi berkaitan spektrum elektromagnetik.

Ini bermakna sebahagian perbelanjaan pertahanan masa hadapan berpotensi bergerak daripada industri berintensifkan aset kepada industri berintensifkan ilmu, teknologi dan kemahiran tinggi.

Perkembangan ini selari dengan Dasar Industri Pertahanan Negara (DIPN) yang dilancarkan pada Januari 2026.

DIPN sendiri memberi perhatian kepada teknologi masa hadapan termasuk sektor siber dan elektromagnetik serta meletakkan kemandirian, inovasi dan kemajuan teknologi sebagai sebahagian daripada transformasi industri pertahanan negara.

Di sinilah kesan ekonominya boleh menjadi signifikan.

Melahirkan pekerjaan berkemahiran tinggi

Penubuhan Angkatan Siber akan meningkatkan permintaan terhadap kepakaran yang sebelum ini lebih banyak dikaitkan dengan sektor swasta seperti pakar keselamatan siber, jurutera perisian, saintis data, pakar AI, jurutera rangkaian dan pakar forensik digital.

ATM sebelum ini menyatakan pembangunan angkatan tersebut akan melibatkan keperluan kepakaran baharu dalam bidang teknologi maklumat dan AI.

Daripada perspektif ekonomi, ini merupakan pelaburan dalam modal insan strategik.Universiti pula mempunyai peluang untuk membangunkan program baharu, makmal penyelidikan serta kerjasama dengan ATM dan industri.

Syarikat tempatan boleh menyediakan teknologi, latihan dan penyelesaian digital. Graduan berkemahiran tinggi memperoleh pasaran pekerjaan baharu.

Akhirnya terbentuk satu ekosistem yang menghubungkan ATM dengan universiti, industri dan penyelidikan. Sekiranya dibangunkan dengan betul, kesannya tidak berakhir dalam sektor pertahanan.

Kemahiran tersebut boleh mengalir kepada sektor perbankan, telekomunikasi, tenaga, pengangkutan, penerbangan, pelabuhan dan pelbagai industri digital yang turut memerlukan perlindungan siber.

Perbelanjaan pertahanan sebagai pemangkin industri

Dalam ekonomi pertahanan terdapat perbahasan panjang mengenai sejauh mana perbelanjaan ketenteraan mampu merangsang aktiviti ekonomi.

Melalui mekanisme yang sering dikaitkan dengan pendekatan Military Keynesianism, peningkatan perbelanjaan kerajaan boleh menghasilkan permintaan kepada industri, pekerjaan dan aktiviti ekonomi.

Namun kesan gandaan tersebut bukan berlaku secara automatik. Kuncinya ialah berapa banyak setiap ringgit yang dibelanjakan kekal beredar dalam ekonomi Malaysia.

Bayangkan Malaysia membelanjakan sejumlah besar wang untuk membangunkan keupayaan siber, tetapi hampir keseluruhan perisian, perkakasan, konsultansi dan hak intelek dibeli dari luar negara.

Sebahagian besar manfaat ekonomi akan turut mengalir keluar melalui import.

Sebaliknya, sekiranya perolehan Angkatan Siber digunakan untuk membangunkan syarikat tempatan, menjalankan penyelidikan bersama universiti, mewujudkan pemindahan teknologi dan membangunkan hak intelek Malaysia, perbelanjaan yang sama mampu mencipta kesan ekonomi yang jauh lebih besar.

DIPN sendiri memberi tumpuan kepada pembinaan ekosistem industri pertahanan tempatan dan daya saing syarikat Malaysia, manakala Majlis Industri Pertahanan pada tahun ini turut memberikan perhatian terhadap pembangunan teknologi dan penglibatan industri tempatan dalam rantaian bekalan pertahanan.

Oleh itu, kejayaan Angkatan Siber tidak seharusnya hanya diukur berdasarkan berapa banyak sistem diperoleh.

Ukuran lain juga penting: berapa banyak teknologi dibangunkan di Malaysia, berapa ramai tenaga mahir tempatan dilahirkan, berapa banyak vendor Malaysia memasuki rantaian bekalan dan berapa banyak intellectual property dimiliki negara.

Cybersecurity juga perlindungan ekonomi

Satu lagi kesan ekonomi Angkatan Siber kadangkala kurang mendapat perhatian kerana ia sukar dilihat secara fizikal.Ia adalah kerugian ekonomi yang berjaya dielakkan.

Dalam ekonomi moden, jaringan digital menyokong hampir keseluruhan kehidupan ekonomi.

Sistem perbankan, pembayaran, lapangan terbang, pelabuhan, bekalan tenaga, telekomunikasi, sistem kerajaan dan rantaian bekalan semuanya semakin bergantung kepada rangkaian digital.

Ancaman siber terhadap sistem sedemikian boleh menyebabkan gangguan operasi, kehilangan data, gangguan perdagangan serta kerugian kewangan.

ATM sendiri mengaitkan pembangunan keupayaan siber dengan perubahan landskap peperangan moden dan risiko terhadap sistem ketenteraan serta infrastruktur kritikal.Maka nilai ekonomi pertahanan siber perlu dinilai melalui dua dimensi. Pertama ialah nilai ekonomi yang terhasil melalui pekerjaan, teknologi, R&D dan aktiviti industri.

Kedua ialah economic losses avoided iaitu kerugian yang dapat dielakkan apabila infrastruktur negara mempunyai daya tahan lebih tinggi terhadap serangan.Inilah sebab keselamatan siber perlu dilihat sebagai sebahagian daripada ketahanan ekonomi nasional.

Kedaulatan digital meningkatkan keyakinan ekonomi

Pelabur bukan sahaja menilai kos buruh, insentif cukai atau saiz pasaran sesebuah negara.

Dalam ekonomi digital, mereka juga menilai kestabilan sistem, keselamatan data, kebolehpercayaan infrastruktur dan keupayaan negara menghadapi gangguan.

Malaysia kini mahu mengembangkan sektor bernilai tinggi termasuk ekonomi digital, pusat data, AI dan industri teknologi.

Apabila semakin banyak aktiviti ekonomi berpindah ke ruang digital, keselamatan ruang tersebut menjadi sama penting dengan keselamatan pelabuhan, laluan perdagangan dan sempadan negara.

Dengan kata lain, kedaulatan digital kini mempunyai nilai ekonomi. Negara yang mampu melindungi ruang digitalnya mempunyai asas yang lebih kukuh untuk mengekalkan kesinambungan perniagaan dan meningkatkan ketahanan sistem ekonominya.

Namun setiap ringgit mempunyai Kos Lepas

Pada masa sama, penubuhan cabang baharu ATM perlu dinilai secara berhati-hati dari fiskal.

Belanjawan pertahanan tetap mempunyai kekangan.Peruntukan kepada pembangunan keupayaan siber akan bersaing dengan keperluan lain termasuk kesiapsiagaan anggota, penyelenggaraan aset serta pembangunan kemampuan darat, maritim dan udara.

Belanjawan 2026 untuk sektor pertahanan berjumlah RM21.74 bilion, termasuk RM6 bilion bagi perolehan aset strategik, menurut Kementerian Pertahanan.

Maka perancangan Angkatan Siber perlu memberi perhatian kepada nilai wang, mengelakkan pertindihan fungsi serta memastikan sistem yang diperoleh benar-benar meningkatkan keupayaan nasional.

Kerjasama dengan universiti, industri dan agensi keselamatan siber negara juga penting bagi mengelakkan pembangunan ekosistem secara terpisah.

Daripada pengguna teknologi kepada pencipta teknologi

Akhirnya, cabaran terbesar bukanlah sekadar menubuhkan Angkatan Siber.

Cabaran sebenarnya ialah memastikan penubuhannya menjadi pemangkin kepada transformasi teknologi negara.

Malaysia perlu memilih sama ada mahu menjadi pengguna teknologi keselamatan siber asing, atau secara berperingkat membina kemampuan menjadi pembangun dan pemilik teknologi sendiri.

Sekiranya Angkatan Siber digunakan sebagai anchor demand kepada industri tempatan, ia boleh menyediakan pasaran awal kepada syarikat Malaysia untuk membangunkan teknologi, menguji penyelesaian dan seterusnya membawa produk ke pasaran serantau. Daripada perspektif ekonomi pertahanan, inilah peluang yang lebih besar.

Penubuhan cabang keempat ATM tidak hanya membawa persoalan mengenai bagaimana Malaysia mempertahankan negara daripada ancaman baharu.

Ia turut membawa persoalan tentang bagaimana perbelanjaan mempertahankan negara boleh digunakan untuk membangunkan negara.

Pada masa hadapan, kekuatan pertahanan Malaysia bukan hanya diukur melalui bilangan kapal, pesawat atau aset fizikal yang dimiliki.Ia juga akan ditentukan oleh kemampuan negara menguasai data, teknologi, AI, ruang elektromagnetik serta modal insan yang mampu mempertahankan ruang digital negara.

Apabila medan peperangan berubah, ekonomi pertahanan juga perlu berubah

Angkatan Siber berpotensi menjadi benteng baharu kedaulatan Malaysia.

Tetapi dengan strategi pembangunan industri, modal insan dan teknologi yang tepat, ia juga berpotensi menjadi pemacu baharu ekonomi berasaskan pengetahuan negara.

Dalam dunia yang semakin bergantung kepada teknologi, mempertahankan ruang digital bukan lagi sekadar mempertahankan rangkaian komputer.

Angkatan Siber bukan sekadar cabang baharu ATM, tetapi benteng baharu kepada kedaulatan, keyakinan ekonomi dan kemakmuran Malaysia. – UTUSAN

DR. NUR SURAYYA MOHD SAUDI ialah Pensyarah Kanan Ekonomi Pertahanan, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Pengarah Pembangunan Perniagaan, Strategic Business Unit, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Felo Kanan, Malaysian Institute of Economic Research (MIER).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×