Bekas wartawan portal dibebaskan

Bekas wartawan portal dibebaskan

M. KUMAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Bekas wartawan sebuah portal berita dibebaskan dengan jaminan polis tengah hari tadi selepas ditahan bagi siasatan selepas dia mengemukakan soalan mengandungi unsur perkauman dalam satu ceramah awam di ibu negara baru-baru ini.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M. Kumar berkata, lelaki terbabit, Rex Tan sudah dibebaskan dengan jaminan polis selepas keterangannya dirakam sejak tengah malam tadi.

“Kami turut merampas telefon bimbitnya bagi membantu siasatan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Dalam pada itu katanya, Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Bahagian D5 Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman kini menjalankan siasatan berhubung satu kes penularan rakaman video seorang wartawan portal berita.

Wartawan itu dalam satu wacana terbuka telah membuat pertanyaan mengenai isu Palestin dengan membandingkan keadaan perkauman di Malaysia.

Sebanyak tiga laporan polis diterima berkaitan isu itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948, Seksyen 505(c) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Sementara itu, peguam P. Rajsurian berkata, anak guamnya dibebaskan sekitar pukul 1.15 tengah hari tadi.

Menurutnya, bagaimanapun telefon bimbit dan kad simnya dirampas polis bagi membantu siasatan.

Sebelum ini, Rex memohon maaf secara terbuka berhubung soalan yang diajukannya semasa ceramah awam bertajuk ‘Gaza Exposes the Complicity of International Actors’ pada 12 Januari lepas.

Dalam kenyataan, dia menyatakan rasa kesal terhadap soalan itu dan mengakui bahawa soalan berkenaan kurang relevan dengan acara dan tidak mengambil kira sensitiviti topik tersebut.

Dia memohon maaf kerana menyebut kaum Cina dan Melayu dalam soalan itu, dengan menegaskan bahawa rujukan terbabit tidak perlu dan sepatutnya dielakkan.

Difahamkan Rex sudah meletakkan jawatannya sebagai wartawan di portal terbabit. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN