JELEBU: Seorang lelaki yang ditahan polis selepas disyaki memaksa anaknya mencuri di beberapa premis perniagaan sekitar Bahau dan Batu Kikir di Jempol, direman selama dua hari bagi membantu siasatan.
Permohonan reman terhadap suspek berusia 34 tahun itu dibenarkan bermula hari ini hingga esok oleh Majistret Elizabeth Low di Mahkamah Majistret Jelebu pagi tadi.
Semalam, Ketua Polis Daerah Jempol, Superintenden Norhisham Mustapar berkata, terlebih dahulu anaknya yang berusia 10 tahun itu telah ditahan kerana didapati mencuri satu paket produk serbuk kopi segera di sebuah pasar raya di Bahau pagi semalam.
Menurutnya, penyelia pasar raya berkenaan tampil membuat laporan polis di Balai Polis Bahau sebelum suspek berusia 34 tahun itu ditahan bagi membantu siasatan.
“Siasatan awal mendapati suspek sering mengarahkan serta memaksa anak sulungnya itu mencuri barangan keperluan harian seperti minuman coklat dan barangan runcit lain.
“Sekiranya mangsa enggan berbuat demikian, suspek akan memarahi serta mengugut untuk mendatangkan kecederaan terhadapnya,” katanya dalam kenyataan semalam.
Norhisham berkata, perbuatan tersebut telah menyebabkan mangsa mengalami penderaan emosi dan penganiayaan oleh bapanya dengan tujuan melakukan jenayah.
“Hasil semakan pihak polis juga mendapati suspek mempunyai tujuh rekod lampau membabitkan kesalahan jenayah dan dadah, termasuk kesalahan di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 serta satu rekod dikehendaki polis pada tahun 2021,” katanya. – UTUSAN









