JEMPOL: Seorang lelaki ditahan selepas dia disyaki memaksa anaknya mencuri di beberapa premis perniagaan sekitar Bahau dan Batu Kikir di sini.
Ketua Polis Daerah Jempol, Superintenden Norhisham Mustapar berkata, terlebih dahulu anaknya yang berusia 10 tahun itu telah ditahan kerana didapati mencuri satu paket produk serbuk kopi di sebuah pasar raya di Bahau pagi tadi.
Menurutnya, penyelia pasar raya itu kemudian membuat laporan polis di Balai Polis Bahau sebelum suspek berusia 34 tahun ditahan bagi membantu siasatan.
“Siasatan awal mendapati suspek sering mengarahkan serta memaksa anak sulungnya itu mencuri barangan keperluan harian seperti minuman coklat dan barangan runcit lain.
“Sekiranya mangsa enggan berbuat demikian, suspek akan memarahi serta mengugut untuk mendatangkan kecederaan terhadapnya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Norhisham berkata, perbuatan tersebut telah menyebabkan mangsa mengalami penderaan emosi dan penganiayaan oleh bapanya dengan tujuan melakukan jenayah.
“Hasil semakan pihak polis juga mendapati suspek mempunyai tujuh rekod lampau membabitkan kesalahan jenayah dan dadah, termasuk kesalahan di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 serta satu rekod dikehendaki polis pada tahun 2021,” katanya.
Katanya, dua kertas siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 380/109 Kanun Keseksaan dan Seksyen 31 (1)(a) Akta Kanak-kanak 2001.
“Mangsa telah diserahkan kepada ibu kandungnya manakala suspek akan direman di Mahkamah Majistret Jelebu esok bagi membantu siasatan” katanya. – UTUSAN









