KUALA LUMPUR: Lebih 5,000 unit barangan tiruan bernilai kira-kira RM700,000 dirampas dalam satu serbuan di tingkat dua sebuah bangunan di Jalan Petaling di sini hari ini.
Serbuan menerusi Op Putra 7.0 yang dijalankan bersama pemilik cap dagang bermula pukul 2 petang tadi.
Menerusi operasi itu mendapati terdapat bilik-bilik kecil diubah suai menjadi stor penyimpanan pelbagai barangan tiruan seperti kasut, beg tangan, dompet, selipar dan pakaian berjenama.
Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kuala Lumpur, Mohd. Sabri Seman berkata, hasil risikan selama dua minggu mendapati sindiket berkenaan menyewa beberapa bilik kecil yang berkunci rapi bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.
“Setiap bilik dipercayai disewa oleh individu berbeza dan sindiket ini sering berpindah lokasi bagi mengaburi pihak berkuasa.
“Barang tiruan ini dijual secara fizikal serta dalam talian pada harga antara RM80 hingga RM1,500 mengikut jenis dan gred. Seutas beg tangan gred AAA dijual pada harga RM1,500,” katanya kepada pemberita di lokasi serbuan di sini hari ini.
Mohd. Sabri berkata, pihaknya sedang menyiasat pemilik dan kadar sewa premis terbabit yang dipercayai dikendalikan pekerja warga asing yang melarikan diri sebaik menyedari kehadiran penguat kuasa.
Beliau berkata, barangan tiruan pelbagai gred itu dipercayai dibawa masuk dari luar negara. – UTUSAN










