MIRI: Seramai 33 warga asing tanpa izin (PATI) ditahan dalam Ops Gegar dan Ops Pintu yang dijalankan oleh Unit Pemantauan Keselamatan dan Penguatkuasaan (UPKP), Jabatan Imigresen Malaysia di sekitar bandar raya ini.
Menurut Jabatan Imigresen Sarawak, kesemua tujuh lelaki dan 26 wanita itu ditahan atas pelbagai kesalahan termasuk di bawah Seksyen 6(1)(c) dan 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63, serta beberapa kesalahan lain di bawah peraturan-peraturan imigresen.
“Mereka yang ditahan telah dibawa ke Pejabat Imigresen Miri untuk siasatan dan tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan.
Kenyataan itu menambah, operasi yang dijalankan pada 24 dan 25 Oktober itu merupakan salah satu usaha berterusan JIM dalam membanteras kegiatan perlanggaran undang-undang imigresen serta memastikan tahap keselamatan komuniti sentiasa terpelihara.
Katanya, operasi itu melibatkan kekuatan seramai 15 orang pegawai imigresen dengan tumpuan di beberapa kawasan tumpuan warga asing dan premis perniagaan.- UTUSAN










