Calon SPM positif dadah ketika pulang dari Thailand

Calon SPM positif dadah ketika pulang dari Thailand

ENAM individu termasuk calon SPM antara ditahan setelah positif dadah ketika pulang bercuti dari Thailand.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUBANG PASU: Seorang calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) ditahan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Kedah selepas disahkan positif dadah jenis ketamin ketika pulang bercuti dari Thailand, semalam.

Remaja berusia 17 tahun itu bersama tiga rakannya berusia 18 tahun ditahan ketika menaiki motosikal di lorong Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam, sekitar pukul 3.45 petang.

Pengarah AADK Kedah, Khairul Anwar Ahmad berkata, pelajar berkenaan mengaku kali kedua mencuba dadah berkenaan dengan alasan tertekan dan ingin mencuba.

“Remaja itu merupakan anak tunggal yang tinggal bersama datuk dan neneknya selepas ibu bapa bercerai sejak berusia sembilan tahun. Dia mengaku mengambil dadah kerana tekanan hidup,” katanya dihubungi hari ini.

Katanya, hasil ujian saringan mendapati kesemua mereka positif dadah selepas dipercayai berkongsi rokok yang dicampur bahan terlarang itu ketika berhibur di negara jiran.

“Remaja berkenaan dalam perjalanan pulang ke rumah di Pulau Pinang setelah memasuki Thailand untuk bercuti pada Sabtu lepas dengan menaiki dua motosikal,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya turut menahan dua lagi individu atas kesalahan sama dan kes disiasat mengikut Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983.

Khairul Anwar turut menasihatkan orang ramai yang berhibur di Thailand supaya berhati-hati dan tidak menjerumuskan diri mereka ke dalam aktiviti tidak sihat. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN