SHAH ALAM: Sepasukan polis termasuk seorang pegawai ditahan berhubung kes kehilangan barangan peribadi bernilai ratusan ribu ringgit dekat sebuah banglo inap desa di sekitar Kajang, pada 28 Ogos lalu.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, penahanan itu dilakukan semalam susulan laporan polis yang dibuat mangsa.
Menurutnya, siasatan mendapati kehilangan itu berlaku selepas serbuan dilakukan di banglo tiga tingkat berkenaan, kira-kira pukul 2 pagi.
“Ia susulan aduan bunyi bising daripada jiran yang mendakwa wujud hiburan daripada tengah malam sehingga awal pagi di inap desa itu. Pemeriksaan polis bertujuan mengesahkan sama ada berlaku aktiviti hiburan berkenaan,” katanya pada sidang akhbar, hari ini.
Jelas Shazeli, ketika kejadian semua bilik di setiap tingkat banglo itu penuh dengan penyewa.
“Mangsa yang juga salah seorang penyewa mendapati barangan miliknya berselerak dan mengesyaki hilang. Nilai kerugian dianggarkan ratusan ribu ringgit melibatkan barangan berharga,” ujarnya.
Tambah beliau, banglo inap desa itu mempunyai ramai penghuni yang menyewa bilik berbeza.
“Kes itu disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana mencuri dalam bangunan. Penahanan pasukan serbuan itu dilakukan lewat petang semalam,” katanya.
Namun, Shazeli tidak menyatakan jumlah sebenar penahanan pegawai dan anggota berkenaan. – UTUSAN










