KLANG: Tinggal lebih masa sehingga lima tahun di negara ini antara kesalahan warga asing yang ditemui dalam serbuan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Selangor terhadap sebuah kilang bingkai kaca di Kawasan Perindustrian Meru, di sini, hari ini.
Lelaki warga Myanmar itu antara 43 pendatang asing dari negara itu, Bangladesh dan Nepal di tahan di kilang berkenaan selepas pihak berkuasa mengesan kewujudan pekerja asing tanpa dokumen lengkap, permit yang sah atau tinggal lebih masa bekerja di premis berkenaan.
Turut ditahan adalah sepasang suami isteri masing-masing warga Myanmar berusia 30-an yang juga tinggal di asrama sama disediakan oleh majikan di kilang terbabit.
Pengarah JIM Selangor, Khairrul Aminus Kamaruddin berkata, pihaknya melakukan risikan di kawasan terbabit selama sebulan dan pemeriksaan mendapati 32 individu warga asing memiliki kad perakam waktu sekali gus menunjukkan mereka benar-benar diambil bekerja secara tetap.
“Kita dapati mereka juga bekerja sebagai pekerja am, satu yang saya hendak tekankan adalah 32 daripadanya mempunyai kad perakam waktu walhal salah seorang daripada mereka sebagai contoh permitnya tertera pekerja pembinaan, sedangkan premis bukanlah tapak pembinaan.
“Kebanyakan mereka benar mempunyai pasport, namun kita panggil kosong kerana di dalamnya tiada catatan pas pekerja (dianggap tiada dokumen lengkap). Kemudian, seorang warga Bangladesh ada pasport dan pas pekerja namun sebagai pekerja pembinaan, ia melanggar syarat,” katanya ketika ditemui selepas selesai operasi tersebut.

Terdahulu, dalam operasi bermula kira-kira pukul 11 pagi itu, terdapat seorang lelaki mahu melarikan diri dengan cuba terjun dari tingkap tingkat atas bangunan pada ketinggian kira-kira 20 meter ketika pihak berkuasa menyerbu keseluruhan premis termasuk kawasan asrama di bahagian belakang.
Malah, ada juga antara mereka cuba menyamar sebagai orang luar yang datang ke kilang berkenaan untuk bertemu dengan kawan, namun taktik itu tidak berkesan apabila mereka gagal mengemukakan dokumen sah dan didapati bekerja tanpa kebenaran.
Kata Khairrul Aminus, JIM mengesyaki kesemua warga asing berkenaan sudah melanggar syarat pas di bawah Peraturan 39B Peraturan-Peraturan Imigresen dan Seksyen 6(c) Akta Imigresen 1959/63.
“Kesemua yang ditahan akan diperiksa terlebih dahulu bagi menentukan kesalahan yang dilakukan. Siasatan terhadap majikan akan dibuat kemudian. Kami juga akan melakukan pemeriksaan dan serbuan pada masa akan datang terhadap premis-premis di kawasan berkenaan.
“Orang ramai juga diseru supaya bekerjasama dengan JIM Selangor untuk menyalurkan maklumat berhubung kewujudan pekerja-pekerja asing tanpa dokumen yang sah atau lengkap serta tinggal lebih masa,” tambahnya.
Jelasnya lagi, pihaknya juga akan menyalurkan maklumat kepada jabatan-jabatan berkaitan termasuk Jabatan Tenaga Kerja (JTK) bagi pemeriksaan terhadap kemudahan asrama yang disediakan oleh majikan. – UTUSAN