Suspek tikam anggota polis di bawah pengaruh dadah

Suspek tikam anggota polis di bawah pengaruh dadah

MOHAMED USUF JAN MOHAMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Suspek yang menikam anggota polis sehingga parah ketika menjalankan tugas rondaan cegah jenayah di Pasar Pudu, Jalan Yew, dekat sini semalam dipercayai di bawah pengaruh dadah.

Pemangku Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohamed Usuf Jan Mohamad berkata, motif suspek bertindak sedemikian disebabkan di bawah pengaruh dadah kerana saringan air kencing dijalankan mendapati lelaki terbabit positif heroin.

Malah, katanya, pihak polis turut menemukan dadah jenis heroin pada suspek.

“Suspek kini direman selama tujuh hari bermula hari ini hingga Khamis depan.

“Pemeriksaan lanjut mendapati suspek mempunyai 14 rekod lampau berkaitan dadah dan jenayah,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Menurutnya, keadaan anggota polis yang cedera ditikam kini stabil namun dalam pemantauan.

“Anggota berkenaan akan dipindahkan ke wad biasa dalam masa terdekat ini,” katanya.

Tambahnya, pihaknya kini membuka dua kertas siasatan di bawah Seksyen 307/186 Kanun Keseksaan kerana suspek dengan sengaja cuba membunuh menggunakan senjata serta menghalang penjawat awam menjalankan tugas serta Seksyen 39A (1) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Media semalam melaporkan polis menahan suspek berusia 56 tahun yang menikam anggota polis sehingga parah ketika menjalankan tugas rondaan cegah jenayah di Pasar Pudu, Jalan Yew, dekat sini selain turut menemukan sebilah pisau.

Mohamed Usuf dilaporkan berkata, kejadian berlaku ketika mangsa bersama empat anggota polis lain sedang menjalankan pemeriksaan ke atas suspek.

“Mangsa ditikam di perut menggunakan pisau sebelum (suspek) melarikan diri.

“Anggota polis yang parah dibawa ke Hospital Canselor Tuanku Muhriz Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) untuk rawatan lanjut,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN