Lelaki tular pandu trak pikap secara berbahaya rupanya positif dadah

Lelaki tular pandu trak pikap secara berbahaya rupanya positif dadah

TRAK pikap jenis Mitsubishi Triton yang dipandu oleh suspek ketika kejadian remuk pada bahagian hadapan selepas berlanggar dengan beberapa buah kenderaan di Seberang Jaya, Pulau Pinang semalam.-GAMBAR/MEDIA SOSIAL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUTTERWORTH : Polis mengesahkan bahawa pemandu trak pikap jenis Mitsubishi Triton yang tular kerana memandu secara melulu dan berbahaya dari arah Sungai Dua ke Pulau Pinang sehingga melanggar beberapa kenderaan pagi semalam, positif dadah.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Nik Aminuddin Raja Abdullah berkata, lelaki berusia 29 tahun itu bagaimanapun berjaya ditahan oleh orang awam di kawasan Lebuhraya Butterworth-Kulim Expressway (BKE) berhadapan stesen minyak Caltex Seberang Jaya di sini tidak lama kemudian sebelum diserahkan kepada polis.

Katanya, hasil pemeriksaan ke atas suspek seterusnya menjumpai satu paket plastik lutsinar mengandungi hablur-hablur kristal disyaki dadah jenis methamphetamine seberat kira-kira 0.75 gram dan ketamin seberat 2.38 gram.

“Hasil ujian saringan air kencing pula mendapati, suspek positif dadah jenis methamphetamine dan morfin manakala semakan lanjut mengesahkan bahawa lelaki itu turut mempunyai 15 rekod kesalahan berkaitan dadah serta dua rekod kesalahan berkaitan jenayah,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Nik Aminuddin berkata, kes berkaitan dadah itu kini disiasat di bawah Seksyen 12(3) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan suspek juga akan dibawa ke Mahkamah Majistret Bukit Mertajam pagi ini untuk mendapatkan permohonan reman.

“Pada masa yang sama, siasatan berkaitan kemalangan pula dijalankan oleh Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Tengah di bawah Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu di bawah pengaruh dadah sehingga menyebabkan kemalangan jalan raya.

“Ketika ini juga, polis sedang mengesan kesemua mangsa yang terlibat serta saksi bebas yang berada di lokasi bagi membantu siasatan.

“Justeru, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan diminta supaya menghubungi pegawai penyiasat trafik, Inspektor K. Vignesh di talian 011-14572390 atau datang ke mana-mana balai polis berhampiran,” katanya.

Terdahulu, rakaman video berdurasi lebih dua minit mengenai kejadian tersebut tular di media sosial sehingga mengundang kecaman daripada warganet yang memarahi pemandu Mitsubishi Triton berkenaan kerana memandu secara berbahaya sehingga menyusahkan orang awam.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN