Pemandu SUV ditahan, di bawah pengaruh dadah

Pemandu SUV ditahan, di bawah pengaruh dadah

TANGKAP layar video tular melibatkan pemandu SUV yang memandu secara berbahaya dalam keadaan tayar yang pecah.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pemandu sebuah SUV yang tular kerana memandu dalam keadaan berbahaya di Lebuhraya Sungai Besi, Kuala Lumpur semalam disahkan berada di bawah pengaruh dadah ketika kejadian dan kini ditahan polis untuk siasatan lanjut.

Lelaki berusia 32 tahun itu sebelum ini hadir ke Balai Polis Trafik Kuala Lumpur pukul 10.30 pagi tadi bagi membantu siasatan, namun hasil pemeriksaan terbaharu mendapati lelaki tersebut berada dalam keadaan khayal. 

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd. Zamzuri Mohd. Isa berkata, suspek ditahan selepas ujian saringan dijalankan oleh pihak polis.

“Hasil Ujian Analisis Nafas Eviden (EBA) menunjukkan bacaan 0mg/100ml, iaitu negatif alkohol.

“Bagaimanapun, ujian air kencing yang dijalankan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi mendapati pemandu berkenaan positif ketamin, amphetamine dan methamphetamine. 

“Suspek kini ditahan di IPD Dang Wangi bagi siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan. 

Menurut Mohd. Zamzuri, dua lagi penumpang yang berada dalam kenderaan sama ketika kejadian turut dipanggil dan siasatan terhadap mereka masih diteruskan.

Terdahulu, kejadian itu berlaku pada kira-kira pukul 8 pagi semalam apabila SUV berkenaan dirakam bergerak dengan tayar belakang kanan pecah serta hancur di Lebuhraya Sungai Besi sebelum berhenti di persimpangan lampu isyarat Jalan Kuchai Maju.

Mohd. Zamzuri berkata, kes sedang disiasat di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu dan berbahaya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN