PETALING JAYA: Seorang lelaki yang tular videonya memandu sebuah kereta utiliti sukan (SUV) dalam keadaan berbahaya menyerah diri di Balai Polis Trafik Kuala Lumpur bagi membantu siasatan.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd. Zamzuri Mohd. Isa berkata, lelaki berusia 32 tahun itu hadir pada pukul 10.30 pagi tadi.
Ia selepas video berdurasi satu minit yang tular di media sosial memaparkan kenderaannya bergerak dengan tayar belakang kanan pecah serta hancur di Lebuhraya Sungai Besi sehingga mencetuskan kebimbangan orang ramai.
“Video berkenaan yang dimuat naik semalam menunjukkan kereta jenis Range Rover Velar itu dipandu secara tidak stabil sebelum dirakam seorang penunggang motosikal.
“Kenderaan tersebut kemudian berhenti di persimpangan lampu isyarat Jalan Kuchai Maju, Kuala Lumpur,” katanya dalam kenyataan.
Menurutnya, siasatan terhadap lelaki itu sedang dijalankan selain terdapat dakwaan mengatakan pemandu berada dalam keadaan mabuk dan beberapa ujian akan dilakukan.
“Ujian saringan air kencing serta ‘Evidential Breath Analyzer’ (EBA) akan dijalankan terhadap individu tersebut.
“Dia memberi alasan tayar pecah selepas terlanggar lubang, namun tetap meneruskan perjalanan kerana rumahnya berdekatan. Walau apa pun alasannya, tindakan itu membahayakan pengguna jalan raya lain,” katanya.
Jelas Mohd. Zamzuri, tangkapan terhadap suspek akan dibuat dan kes disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu dan berbahaya. – UTUSAN







