JOHOR BAHRU: Polis Johor sudah mendapat ‘lampu hijau’ untuk menuduh bapa kepada mendiang A. Tishant, 6, yang ditemukan mati ditanam di kawasan Rompin, Jempol, Negeri Sembilan, bulan lalu.
Bagaimanapun Ketua Polis Johor, Datuk M. Kumar berkata, pertuduhan itu hanya dibuat mengikut pertuduhan mencederakan isteri dan laporan polis suspek yang mendakwa anaknya hilang.
Katanya, lelaki itu akan dituduh di Mahkamah Johor Bahru selepas siasatan terhadap suspek di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jempol di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan selesai.
“Di Johor, siasatan terhadap suspek dibuat hanya membabitkan Seksyen 323/324 Kanun Keseksaan; Seksyen 18 Akta Keganasan Rumah Tangga 1994 dan dibaca bersama Seksyen 326A Kanun Keseksaan kerana didakwa mencederakan isterinya selain Seksyen 31(1) Akta Kanak-kanak 2001.
“Kita sudah mendapat arahan tuduh suspek dan ia akan dilakukan selepas mendapat keputusan (selesai siasatan) kes 302 Kanun Keseksaan,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini hari ini.
Sebelum ini, akhbar melaporkan kanak-kanak yang dilaporkan hilang di Taman Bukit Indah, Iskandar Puteri, di sini pada 24 Julai lalu, ditemui mati dan ditanam di kawasan Rompin, Jempol.
Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Ahmad Dzaffir Mohd Yussof dilaporkan berkata, mayat kanak-kanak itu ditemui susulan penahanan suspek lelaki berusia 36 tahun yang juga bapa kanak-kanak malang itu oleh Polis Johor.
Hasil bedah siasat terhadap mayat itu mendapati mangsa maut akibat jerutan menggunakan pengikat kabel.
Menurut Kumar, pihaknya menerima satu laporan polis yang dibuat isteri suspek di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seri Alam pada 22 Julai lalu yang mendakwa dia telah dipukul lelaki itu.
Katanya, dalam laporan polis yang sama, isteri suspek turut menjelaskan bahawa suaminya telah melarikan anak tunggal mereka itu.
Jelasnya, polis kemudian membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan Seksyen 18 Akta Keganasan Rumah Tangga 1994 sebelum pihaknya menahan suspek.
“Selesai siasatan, suspek kemudian diberi jamin polis dan suspek pula telah membuat satu laporan polis mendakwa telah meninggalkan anaknya di dalam kereta sebelum kanak-kanak itu hilang.
“Kita kemudian membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 31(1) Akta Kanak-kanak 2001 selain siasatan orang hilang, bagaimanapun, ketika merakam percakapan suspek, kenyataannya tidak konsisten dan meragukan.
“Susulan itu, kita menahan semula suspek dan reman dibuat di negeri ini,” katanya.
Menurutnya, hasil soal siasat kemudian membongkar perkara sebenar yang membawa kepada penemuan mayat kanak-kanak itu dan suspek diserahkan ke Negeri Sembilan untuk siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. – UTUSAN











