10 transporter dadah diberkas, mampu raih RM15,000 sebulan

10 transporter dadah diberkas, mampu raih RM15,000 sebulan

HUSSEIN Omar Khan menunjukkan rampasan dadah dan barangan mewah dalam sidang akhbar di IPD Muar, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUAR: Gara-gara ingin mendapat upah lumayan sehingga RM15,000 sebulan dengan menghantar bekalan dadah dari utara tanah air ke negara jiran, 10 ‘transporter’ tidak menghiraukan keselamatan diri.

Namun, kegiatan mereka berjaya dihidu pihak berkuasa dan berjaya diberkas dalam Op Larch, dua minggu lalu.

Kesemua suspek berusia 29 hingga 70 tahun itu ditahan bersama-sama 61 kilogram (kg) dadah bernilai RM2 juta dalam serbuan berasingan di negeri ini dan Lembah Klang pada 21 dan 22 Julai lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, kegiatan sindiket itu terbongkar selepas pihaknya berjaya mengesan pergerakan suspek pertama di Parit Jawa, Muar.

Pemeriksaan ke atas kenderaan Toyota Lexus dipandu suspek telah menemukan 51kg dadah jenis methamphetamine yang dibungkus dalam bungkusan warna hijau, biru dan merah.

“Pemeriksaan lanjut di dalam rumah dan sekitar kawasan Parit Jawa membawa kepada penahanan suspek kedua dan ketiga yang merupakan pasangan suami isteri.

“Serbuan kedua dijalankan di sebuah rumah di sekitar Tanjung Labuh, Batu Pahat dan suspek keempat yang dipercayai ketua sindiket warga tempatan berjaya diberkas,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Muar, di sini hari ini.

Lima suspek yang lain, termasuk seorang warga asing diberkas dalam serbuan di sekitar Jalan Parit Bakar dan tangkapan seterusnya di Jalan Bukit Segar, Cheras, Kuala Lumpur.

“Pemeriksaan di dalam rumah suspek ke-10 menjumpai 17 paket plastik lutsinar disyaki mengandungi methamphetamine dan 105 biji pil ekstasi disyaki untuk pasaran kelab malam.

“Kesemua suspek mengaku menerima upah antara RM3,000 hingga RM15,000 sebulan dengan menjadi ‘transporter’ dan menghantar bekalan ke Indonesia menggunakan bot menerusi laluan Selat Johor dan Selat Melaka sejak Oktober tahun lalu,” katanya sambil memberitahu pihaknya turut menyita tujuh kenderaan mewah, termasuk Mercedes Benz GLC, Toyota Alphard, barang kemas, jam tangan, beg tangan dan wang tunai dengan nilai keseluruhan RM752,655. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×