Pelajar IPTS terima upah RM4,000 jadi 'transporter' bunga ganja

Pelajar IPTS terima upah RM4,000 jadi ‘transporter’ bunga ganja

BADERULHISHAM Baharudin (tengah) menunjukkan dadah disyaki bunga ganja seberat 14.63kg pada sidang akhbar di IPK Kedah, Alor Setar malam tadi. - UTUSAN/ SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Polis merampas bunga ganja seberat 14.63 kilogram (kg) setelah berjaya menahan seorang pelajar sebuah institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) dalam pemeriksaan di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam, kelmarin.

Dadah bernilai RM1.17 juta itu cuba diseludup dari Thailand oleh pemuda terbabit yang berusia 24 tahun dan memandu kenderaan pacuan empat roda.

Timbalan Ketua Polis Kedah, Deputi Komisioner Baderulhisham Baharudin berkata, hasil pemeriksaan ke atas kenderaan milik keluarga suspek itu menemukan 13 bungkusan plastik berwarna hitam mengandungi bunga ganja.

“Bungkusan berisi dadah itu disembunyikan di bahagian penyandar tempat duduk penumpang belakang kenderaan pikap terbabit,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah di sini, malam tadi.

Menurut beliau, siasatan awal mendapati suspek dipercayai berperanan sebagai penghantar bekalan dadah bagi sindiket penyeludupan dari Danok, Thailand sebelum dihantar ke Kuala Lumpur dan Johor.

“Dia dipercayai telah membawa masuk bekalan dadah ke negara ini kira-kira empat kali sebelum ini dengan menerima upah RM4,000 bagi setiap penghantaran dadah yang berjaya dilakukan,” ujarnya.

Katanya, siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti rangkaian penuh sindiket termasuk sumber bekalan, rangkaian pengedaran dan individu lain yang terlibat.

“Dadah yang dirampas mampu membekalkan bekalan kepada lebih 73,150 penagih dan berpotensi merosakkan kehidupan ratusan ribu masyarakat sekiranya berjaya dipasarkan,” jelasnya.

Tambahnya, saringan awal air kencing mendapati suspek yang beralamat di Rawang, Selangor positif tetrahydrocannabinol (THC).

“Suspek direman selama enam hari sehingga 21 Jun ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN