KLANG: Seorang wanita sanggup berjalan kaki lebih dua kilometer (km) dari rumah selepas suaminya ditahan polis kerana merempit di Persiaran Raja Muda Musa di sini, awal pagi tadi.
Wanita berusia lingkungan 20-an yang baru beberapa bulan mendirikan rumah tangga bergegas keluar selepas menerima panggilan telefon daripada suaminya sedangkan sebelum itu sudah pun menasihatkannya supaya tidak terlibat dengan aktiviti samseng jalanan.
Tindakan isteri kepada suami berusia 20-an itu diketahui pada Operasi Bersepadu Samseng Jalanan dilakukan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan dengan kerjasama Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor, kira-kira pukul 3 pagi.
Lokasi yang menjadi ‘port’ berlumba dan melakukan aksi berbahaya itu dikepung pihak berkuasa yang menutup dua persimpangan utama serta beberapa lorong tikus.
Bagi meloloskan diri, ada antara mereka sanggup bertindak memecut motosikal melawan arus dan secara melulu.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Ramli Kasa berkata, operasi bersepadu itu dijalankan pihaknya hasil risikan selama tiga minggu lalu mengenai aktiviti samseng jalanan di kawasan berkenaan.
“Sebanyak 128 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan yang melibatkan 33 individu berusia 14 hingga 39 tahun. Kesalahan yang dikesan antaranya cukai jalan tamat tempoh, penunggang bawah umur, tiada nombor pendaftaran dan mengubah suai ekzos.
“Selain itu, ia melibatkan kesalahan tiada lesen memandu, brek tidak berfungsi dan tidak memakai topi keledar,” katanya kepada pemberita, hari ini.
Menurut Ramli, pihaknya turut menyita sebanyak 33 buah motosikal bagi tindakan lanjut.
“Kesemua penunggang yang ditahan atas pelbagai kesalahan itu dibawa ke Balai Polis Trafik Klang Selatan. Tujuh individu disiasat bagi kesalahan mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 manakala seorang lagi mengikut Seksyen 108 (3) akta sama,” ujarnya.
Tambah beliau, pihaknya akan meneruskan operasi itu bagi membanteras aktiviti samseng jalanan dan menasihatkan ibu bapa memantau pergerakan anak mereka. – UTUSAN