Restoran, kedai gunting rambut 'hipster' gaji PATI digempur

Restoran, kedai gunting rambut ‘hipster’ gaji PATI digempur

Restoran PATI
ANTARA warga asing yang ditahan dalam Op Selera dan Op Dandan yang dijalankan di sekitar Klang dan Shah Alam, Selangor, semalam. - UTUSAN / ISKANDAR SHAH MOHAMED
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Dua restoran dan sebuah kedai gunting rambut ‘hipster’ yang disyaki menggaji pendatang asing tanpa izin (PATI) sebagai pekerja digempur kelmarin.

Serbuan itu dilakukan Jabatan Imigresen Selangor menerusi Op Selera dan Op Dandan di sekitar daerah ini dan Klang, bermula kira-kira pukul 1 petang.

Ketika serbuan, terdapat beberapa cubaan pekerja asing melarikan diri namun gagal selepas dicekup anggota penguat kuasa. Selain itu, ada daripada pekerja asing berkenaan gagal mengemukakan dokumen dan permit yang sah.

Pengarah Imigresen Selangor, Khairrul Aminus Kamaruddin berkata, operasi itu dijalankan hasil maklumat dan aduan awam mengenai warga asing sebelum serbuan dibuat yang membawa kepada penahanan 24 lelaki warga asing berusia 23 hingga 50 tahun dipercayai tiada permit sah.

“Kesemua tangkapan itu terdiri daripada 12 warga India, lapan Sri Lanka serta empat Myanmar. Mereka dihantar ke Depoh Imigresen Semenyih bagi tindakan reman dan membantu siasatan,” katanya, semalam.

Tambah Khairrul Aminus, kes itu disiasat pihaknya mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1958/63.

“Operasi seumpama itu akan dijalankan secara berterusan bagi mengesan warga asing yang melanggar peraturan ditetapkan.

“Jangan melindungi PATI dan orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menyalurkan kepada Imigresen bagi tindakan lanjut,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN