PETALING JAYA: Polis masih menjalankan siasatan menyeluruh terhadap Program motivasi rumah tangga, (eHATI), termasuk mengesan kemungkinan wujudnya ritual bertentangan dengan hukum syarak.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, siasatan dibuat daripada pelbagai sudut dan kesemua individu yang ditahan telah dibebaskan dengan jaminan semalam.
Rabu lalu, pengasas program eHATI yang merupakan pasangan suami isteri bersama empat individu lain berusia 26 hingga 57 tahun direman selama tiga hari bagi membantu siasatan.
Siasatan awal mendapati terdapat aktiviti berbogel dalam sesi tertutup program berkenaan yang dikenali sebagai ‘Queens Night’.
Program motivasi itu menawarkan dua pakej kepada peserta dengan bayaran antara RM6,000 hingga RM9,000 termasuk penyertaan dalam sesi eksklusif tersebut.
Pihak polis turut mengenal pasti seramai 50 peserta yang menyertai program berkenaan melalui senarai nama yang diperoleh, dan mereka telah diminta tampil memberi keterangan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 509 dan Seksyen 294 Kanun Keseksaan berkaitan perbuatan tidak sopan serta Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955. Siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti semua yang terlibat. – UTUSAN









