Lelaki Pakistan cabul budak, remaja dicekup di Kedah

Lelaki Pakistan cabul budak, remaja dicekup di Kedah

Cabul budak
MOHD. IQBAL IBRAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Seorang lelaki warga Pakistan yang diburu berhubung kes suspek cabul dan liwat kanak-kanak serta remaja dicekup polis di Kuala Nerang, Kedah semalam.

Suspek utama berusia 25 tahun itu dipercayai berhasrat keluar dari Malaysia ke negara jiran untuk melarikan diri. Turut ditahan, seorang lagi lelaki warga Pakistan yang disyaki membantu suspek menyembunyikan diri.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd. Iqbal Ibrahim berkata, lelaki dikenali sebagai Muhammad Hassan itu merupakan suspek utama dalam empat siri kejadian cabul dan liwat melibatkan kanak-kanak dan remaja lelaki berusia 9, 13, 14 dan 19 tahun.

“Bertindak atas maklumat, kita berjaya menahan suspek utama yang sempat keluar dari negara ini. Selain itu, seorang lelaki warga negara sama ditahan kerana berperanan membantu suspek bersembunyi daripasa dikesan polis,” katanya hari ini.

Jelasnya, permohonan reman ke atas dua suspek akan dikemukakan di Mahkamah Majistret, hari ini bagi meneruskan siasatan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dan Seksyen 377C Kanun Keseksaan.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat kejadian itu boleh menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Siti Mahanira Mahat di talian 017-6444895 atau balai polis berdekatan,” ujarnya.

Tambah beliau, ibu bapa agar dinasihatkan tidak memandang remeh isu keselamatan anak termasuk membiarkan mereka keluar bersendirian ke kawasan sunyi yang berpotensi kepada kelakuan jenayah.

Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan suspek dipercayai mengekori dan meminta mangsa mengambil barang sebelum melakukan perbuatan itu.

Mangsa yang kebanyakannya kanak-kanak lelaki termasuk pelajar sekolah diminta mengambil barang di suatu lokasi sebelum tiba-tiba dipeluk dari belakang dan dicekik jika melawan.

Suspek juga akan meminta mangsa membantu menempah perkhidmatan e-hailing atau bertanyakan sesuatu lalu menumbuknya ketika leka sebelum menarik mangsa ke tempat yang dirasakan boleh melakukan perbuatan liwat tersebut. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN