KLANG: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Selangor menahan sebuah kapal tangki yang didapati membawa 62,000 liter diesel tanpa kebenaran, di sini, semalam.
Pengarahnya, Kapten Abdul Muhaimin Muhammad Salleh berkata, kapal tersebut dikesan berada di perairan kira-kira satu batu nautika di Tanjung Harapan, Pelabuhan Klang ketika rondaan pasukannya dalam Operasi (Op) Ehsan, Op Murni dan Op Tiris 3.0 sekitar pukul 1.30 petang.
Menurutnya, hasil pemeriksaan awal mendapati, kapal terbabit dikendalikan oleh seorang kapten berumur 43 tahun merupakan warga Indonesia bersama enam kru dalam lingkungan umur 21 hingga 51 tahun yang juga warga Indonesia dan kesemua mereka mempunyai dokumen pengenalan diri yang lengkap.
“Hasil pengeledahan ke atas kapal berkenaan telah menemui sejumlah minyak diesel dianggarkan sebanyak 62,000 liter dan kapten kapal gagal mengemukakan sebarang dokumen untuk membawa barang kawalan tersebut.
“Perintah penahanan ke atas kapal tersebut dikeluarkan. Berikutan itu kapten kapal dan seorang pegawai jurutera (jurutera kedua) ditahan dan dibawa ke Jeti Pasukan Polis Marin, Pulau Indah untuk siasatan lanjut,” katanya kepada pemberita, hari ini.
Tambah Abdul Muhaimin, kes disiasat di bawah Akta kawalan bekalan 1961 kerana gagal mengemukakan sebarang bukti dokumen kebenaran memiliki, menyimpan dan membawa barang kawalan tanpa permit atau lesen khas daripada pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).
“Maritim Malaysia akan terus meningkatkan pemantauan dan penguatkuasaan undang-undang di kawasan perairan Malaysia khususnya Selangor.
“Sebarang aduan, maklumat atau insiden kecemasan di laut orang ramai boleh menghubungi talian kecemasan 999 atau Pusat Operasi Maritim Selangor (013- 6606652) / Pusat Operasi Maritim Malaysia (03-89957820) untuk maklum balas segera,” ujarnya. – UTUSAN