SHAH ALAM: Memeluk papan tanda, penyapu dan membawa mesin gergaji kecil sambil menunggang motosikal, demikian tindakan berani dilakukan oleh dua warga Bangladesh ketika melalui laluan utama Lebuhraya Persekutuan berhampiran Bulatan Melawati, di sini, hari ini.
Malah, pembonceng berusia 20-an itu dilihat hanya memakai topi keselamatan berbanding topi keledar yang sepatutnya dipakai ketika menaiki motosikal terutama ketika melalui lebuh raya.
Kedua-dua itu ditahan dan dikenakan tindakan oleh Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT), Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam yang melakukan operasi pemeriksaan motosikal dekat laluan utama di lebuh raya tersebut.
Mereka antara ratusan motosikal yang ditahan atas pelbagai kesalahan terutama tidak menggunakan laluan motosikal ketika melalui Lebuhraya Persekutuan.
Bagaimanapun, ketika operasi tersebut, rata-rata penunggang yang ditahan mendakwa tidak mengetahui arahan menggunakan laluan khas motosikal walaupun antara mereka merupakan pengguna kerap lebuh raya berkenaan.
Penunggang warga asing, Ayatollah, 28, ketika ditahan berkata, dia mengambil jalan mudah kerana sedang bekerja memotong pokok dan membersihkan kawasan rumput di sepanjang lebuh raya tersebut.
“Ini motosikal saya sendiri, baru beli dua bulan lepas. Saya tiada lesen motor. Saya cuma kerja potong pokok dan bersihkan kawasan rumput. Saya juga tak gunakan laluan motosikal sebab kena bersihkan kawasan di kedua-dua arah Kuala Lumpur dan Klang,” katanya ketika ditemui, hari ini.
Sementara itu, seorang pekerja sebuah firma guaman berusia 36, memberitahu dia terlupa beralih kepada mod motosikal berbanding kereta ketika menggunakan aplikasi Waze dari Jinjang, Kepong ke Mahkamah Shah Alam.
“Saya terlupa hendak tukar ke mod motosikal. Saya memang tak cam Lebuhraya Persekutuan dan laluan khas motosikal, Waze tunjukkan arah di laluan utama. Kalau tukar ke mod motosikal mungkin ditunjukkan laluan khas motosikal,” ujarnya.
Bagi seorang mahasiswa semester empat sebuah universiti di sini pula memaklumkan tidak mengetahui cara memasuki laluan motosikal menyebabkan dia melalui jalan utama ketika pulang daripada bertemu dengan kedua orang tuanya di Seksyen 22.
“Saya tak pernah tahu pun ada laluan motosikal, memang biasa lalu jalan utama, cuma tak sangka hari ini kena tahan polis dan disaman,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd. Iqbal Ibrahim berkata, pemeriksaan yang dijalankan kira-kira dua setengah jam bermula pukul 10.00 pagi di Kilometer 13.1 itu merekodkan sebanyak 180 motosikal disaman.
Menurutnya, operasi Deputi Superintendan Augustine @ Mohd. Agus Mohd. Ali turut menggunakan khidmat dron dari Unit dron Pasukan Gerakan Udara (PGU) bagi mengesan penunggang motosikal sejauh satu hingga dua kilometer.
“Unit dron PGU dipanggil untuk menyertai operasi yang bertindak memberikan ‘birds eye view’ bagi mengenalpasti kenderaan yang melakukan kesalahan dari jarak jauh.
“Kemudian boleh diambil tindakan sesampai di lokasi sekatan dijalankan ataupun rakaman gambar serta video kesalahan boleh dikeluarkan notis saman,” jelasnya. – UTUSAN