Pemandu mabuk sebabkan kematian wajar dianggap membunuh

Pemandu mabuk sebabkan kematian wajar dianggap membunuh

Pemandu mabuk
YUSFARIZAL YUSSOFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Kesalahan memandu dalam keadaan mabuk dan menyebabkan kematian orang lain wajar diklasifikasikan sebagai membunuh.

Pindaan undang-undang terhadap perkara itu perlu dilakukan apabila individu yang mengetahui dirinya berada di bawah pengaruh alkohol atau dadah, namun tetap memilih untuk memandu secara berbahaya.

Ketua Penerangan Pas Selangor, Dr. Yusfarizal Yussoff berkata, pihaknya menggesa supaya pindaan undang-undang bagi mengklasifikasikan pemanduan mabuk yang menyebabkan kematian sebagai jenayah berat setara bunuh.

“Seseorang yang memandu dalam keadaan mabuk sebenarnya mempunyai ‘pengetahuan’ tindakannya berisiko tinggi menyebabkan kematian.

“Analogi mudahnya, seperti membaling objek berat dari tingkat tinggi ke kawasan awam, atau melepaskan tembakan rambang, walaupun tiada niat khusus membunuh, pelaku mengetahui kemungkinan kematian adalah hampir pasti,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Justeru, beliau menggesa pendakwa raya menggunakan budi bicara secara tegas dalam kes melibatkan kecuaian melampau.

“Pas Selangor menekankan keperluan pendekatan menyeluruh termasuk kawalan penjualan alkohol dan penguatkuasaan lebih ketat.

“Kes itu bukan sekadar statistik. Ia melibatkan kehilangan seorang suami, seorang ayah, dan pencari nafkah utama keluarga. Desakan keluarga mangsa untuk keadilan mencerminkan kegagalan sistem sedia ada memberikan rasa keadilan yang sebenar.

“Hukuman ringan tidak lagi memadai. Nyawa tidak boleh dinilai dengan denda atau hukuman penjara semata-mata tanpa elemen keinsafan dan pencegahan yang kuat,” tegasnya.

Utusan Malaysia kelmarin melaporkan seorang pemandu mabuk direman selama empat hari selepas merempuh sebuah motosikal di Jalan Raya Barat, Klang sehingga menyebabkan penunggangnya terpelanting dan tercampak di atas sebuah kereta lain sebelum disahkan meninggal dunia.

Insiden tersebut menyebabkan isteri dan tiga anak mangsa kehilangan tempat bergantung serta kasih sayang seorang bapa.

Bagaimanapun, pembantu makmal swasta, R. Saktygaanapathy, 28, kemudian dituduh di Mahkamah Majistret hari ini atas kesalahan membunuh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN