SHAH ALAM: Persekolahan bagi ketiga-tiga anak Allahyarham Amirul Hafiz Omar akan ditanggung oleh Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) dan agensi-agensi hal ehwal agama lain.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifli Hasan berkata, pada peringkat awal, ketiga-tiga anak pasangan Amirul Hafiz dan Nurul Nadia Abdul Majid itu akan ditanggung selama setahun.
Katanya, selain itu, mereka turut akan dibantu oleh Lembaga Tabung Haji (TH) untuk membuka akaun simpanan dan menerima sumbangan daripada agensi itu.
“Bagi bantuan persekolah YADIM dan agensi hal ehwal agama dan agensi lain akan lihat, untuk awalnya kita beri setahun bantuan persekolahan.
“TH bantu buka akaun untuk anak-anak, jadi mereka dah boleh menabung, ada juga sumbangan daripada TH,” katanya ketika ditemui selepas melawat Nurul Nadia dan anak-anaknya, hari ini.
Ahad lalu, Amirul Hafiz, 33, meninggal dunia selepas motosikal ditunggangnya dirempuh oleh sebuah kereta Honda City yang dipandu seorang pemandu mabuk ketika melalui Jalan Raya Barat, Klang.
Susulan insiden tersebut, pemandu yang dikenali sebagai R. Saktygaanapathy dituduh membunuh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan di Mahkamah Majistret, semalam.
Zulkfli menambah, agensi berkenaan turut menyediakan perkhidmatan kaunseling kepada keluarga tersebut sekiranya diperlukan.
“Khidmat kaunseling memang ada disediakan untuk orang awam. Dalam kes ini kita bersedia. Memang ada banyak kaunselor kita, asatizah yang boleh membimbing dari aspek agama yang boleh memberi kekuatan kepada keluarga itu,” ujarnya. – UTUSAN









