SHAH ALAM: Penganjuran Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 Selangor yang akan berlangsung bermula pertengahan Ogos depan akan diteruskan meskipun berdepan cabaran impak kenaikan harga minyak susulan konflik di Asia Barat.
Exco Belia Sukan dan Keusahawanan Selangor, Mohd. Najwan Halimi berkata, sehingga kini tiada penangguhan atau perubahan tarikh penganjuran akan berlaku, namun situasi semasa akan dirujuk ke mesyuarat jawatankuasa tertinggi.
Kalau macam (kos) petugas yang naik daripada segi penginapan, petrol, kawalan dan sebagainya tidak berubahlah, cuma kerajaan perlu menanggung kos ataupun sekretariat. Ya, kos menjadi masalah kita.
“Kita tak nafi di peringkat sekretariat sudah pun bincang tentang pelaksanaan penganjuran SUKMA nanti dan hal itu akan dibawa ke peringkat mesyuarat jawatankuasa tertinggi yang dipengerusikan oleh Menteri Belia dan Sukan, Dr. Mohammed Taufiq Johari,” katanya ketika ditemui, hari ini.
Jelasnya, ketika ini peringkat jawatankuasa dan sekretariat penganjur masih meneruskan kerja-kerja awal seperti biasa mengikut jadual berdasarkan tarikh penganjuran yang sudah ditetapkan.
“Buat masa ni persiapan dan juga persediaan kita on track lah. Kita tidak mahu kalau kata sekiranya ada keperluan pun, ada tuntutan untuk ditangguhkan atau sebagainya.
“Cuma kita buat kerja, persiapan mengikut timeline yang sudah ditetapkan Ogos ini. Jadi kita bekerja dalam tempoh tersebut. Tetapi sekiranya mungkin situasi luar jangka, itu bergantung kepada keputusan di peringkat kementerian,” ujarnya.
Selangor merupakan tuan rumah kepada penganjuran temasya SUKMA ke-22 yang akan berlangsung pada 15 hingga 24 Ogos depan. Pembukaannya pula akan diadakan di Litar Antarabangsa Sepang. – UTUSAN










