PETALING JAYA: Pasukan Gerakan Am (PGA) diarah memperketat kawalan di sempadan dan meningkatkan risikan bagi mengekang penyeludupan senjata api ke negara ini.
Arahan itu dikeluarkan susulan dua kes tembakan di Kuala Lumpur yang mengorbankan tiga nyawa dalam tempoh empat hari.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, pasukan PGA sudah diarah untuk memperketat formasi mereka di sepanjang sempadan terutama di utara Semenanjung bagi menghalang penyeludup membawa masuk senjata api.
“Pasukan risikan PGA juga ditugaskan untuk mengumpulkan maklumat mengenai aktiviti sedemikian.
“Ini untuk melengkapi anggota risikan polis dari pelbagai negeri di sepanjang sempadan,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Mengenai dua kes tembakan yang berlaku,, Razarudin berkata, ia adalah insiden terpencil dan polis sedang menjejaki pihak yang bertanggungjawab. – UTUSAN