KUALA SELANGOR: Seorang bayi lelaki ditemukan dekat tepi jalan berhampiran Masjid Jamiul Huda, Kampung Api-Api, Bukit Rotan, di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Azaharudin Tajudin berkata, pihaknya menerima panggilan daripada Hospital Sungai Buloh yang memaklumkan penemuan bayi yang masih bernyawa itu.
“Siasatan awal polis mendapati bayi tersebut dijumpai dalam beg plastik di tempat kejadian oleh orang awam. Bayi dalam keadaan matang dan cukup sifat dengan berat 2.13 kilogram serta dianggarkan berumur kira-kira satu minggu dalam keadaan tali pusat masih sempurna.
“Bayi tersebut kini berada di Hospital Tanjong Karang bagi tujuan pemeriksaan kesihatan,” katanya.
Beliau menambah, polis membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 317 Kanun Keseksaan dan menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat tentang kejadian diminta tampil untuk membantu siasatan.
“Orang ramai boleh menghubungi secara terus kepada Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Selangor di talian 03-33289122 atau pegawai penyiasat Inspektor Siti Mazliah Azizi di tallian 017-6649100,” ujarnya. – UTUSAN