AKPS lakukan saringan berkala di 22 buah pintu masuk negara

AKPS lakukan saringan berkala di 22 buah pintu masuk negara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Saringan berkala oleh Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) terus dipergiatkan di pintu-pintu masuk utama negara susulan peningkatan jumlah pelawat memasuki negara ini bersempena cuti perayaan dan cuti sekolah yang lalu.

AKPS memberitahu Utusan Malaysia, tindakan itu bagi memastikan operasi, keselamatan dan kelancaran pergerakan di pintu masuk negara selain menjamin keselamatan awam dan mencegah sebarang aktiviti penyeludupan atau jenayah rentas sempadan.

Dalam Fasa 1 pengoperasiannya, AKPS telah mengambil alih 22 buah pintu masuk negara seperti Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar (BSI), Johor; Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Rantau Panjang, Kelantan dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu, Sabah.

“Keadaan di semua lokasi terbabit adalah terkawal selain tidak terlalu sesak dan bermasalah,” katanya di sini hari ini.

Baru-baru ini, akhbar ini melaporkan AKPS akan terus melaksanakan saringan berkala di semua laluan masuk sama ada di balai ketibaan atau balai berlepas KLIA bagi memastikan tiada cubaan warga asing masuk tanpa mematuhi syarat-syarat kemasukan yang sah.

Pemantauan juga dibuat ditempat-tempat berkumpul yang strategik di lapangan terbang itu. Pengoperasian di pintu-pintu masuk dilaksanakan 24 jam sehari dengan penugasan dibahagikan kepada tiga syif, melibatkan empat pasukan. 

Setiap syif melibatkan antara 146 sehingga 169 orang anggota mengikut setiap pasukan, manakala bagi pasukan pemantau pula, lebih kurang 10 orang pegawai yang bertugas mengikut masa-masa tertentu.

Bagi memperkasa dan mengukuhkan peranan pasukan pemantau KLIA, bilangan anggota akan ditambah mengikut keperluan.

AKPS juga menerusi Airport Operators Commitee (AOC) menjalinkan kerjasama dengan syarikat-syarikat penerbangan untuk meningkatkan kesedaran mengenai syarat-syarat kemasukan.

Pada 5 Jun lalu, muka hadapan Utusan Malaysia melaporkan seramai 25,568 warga asing telah ‘dihalang’  daripada memasuki negara ini sejak tahun 2024 sehingga Mei lalu.

Kesemua mereka yang terdiri daripada 6,755 warga India diikuti Bangladesh (4,867), Pakistan (4,757), Indonesia (2,486), Myanmar (1,126), Vietnam (117) dan lain-lain (4,718)  itu disenaraikan di bawah kategori Not To Land (NTL).

Antara sebab utama warga asing terbabit dikenakan tindakan NTL kerana gagal menjelaskan tujuan kemasukan sama ada untuk melancong, lawatan sosial atau urusan perniagaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN