KLANG: Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) dijangka bertemu Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini bagi membincangkan syor dan saranan berkaitan isu sisa e-waste.
Komander Kawalan Pintu Masuk Pelabuhan Klang, Datuk Nik Ezanee Mohd. Faisal berkata, dalam pertemuan tersebut, syor yang akan dikemukakan adalah hasil perbincangan antara jawatankuasa khas diserta AKPS bersama agensi lain seperti Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Jabatan Alam Sekitar (JAS), Institut Piawaian dan Penyelidikan Perindustrian Malaysia (SIRIM) dan juga Lembaga Pelabuhan Klang.
“Esok (hari ini) saya bersama Ketua Pengarah, Datuk Seri Mohd. Shuhaily Mohd. Zain, akan bertemu Perdana Menteri dan kami akan bentangkan apa syor daripada isu yang berada dalam tangan,” katanya, ketika majlis berbuka puasa AKPS dan agihan bubur lambuk oleh Padiberas Nasional Berhad (BERNAS) kepada petugas barisan hadapan dan orang awam, semalam.
Jelasnya, daripada perbincangan tersebut, 819 kontena sudah dikenalpasti mengandungi sisa e waste dengan tumpuan kini adalah untuk mengeluarkan kontena-kontena berkenaan daripada pelabuhan di dalam negara dan memulangkan ke negara asal.
“Antara syor yang akan dibentangkan adalah bagaimana kita nak gerakkan kontena e waste ini keluar dari pelabuhan.
“Saya akan cuba segerakan (keluarkan kontena dari pelabuhan) selepas sambutan Hari Raya Aidilfitri. Saya sangat positif dengan situasi semasa,” ujarnya.
Dalam majlis tersebut, BERNAS turut meraikan kira-kira 350 anggota dan kakitangan AKPS dalam satu majlis berbuka puasa sebagai penghargaan atas peranan mereka dalam menjaga keselamatan sempadan negara.
Sebanyak 700 bekas bubur lambuk turut diagihkan kepada anggota yang sedang bertugas di sekitar Pelabuhan Klang. – UTUSAN










