Aset AKPS perlu ditambah, bantu kesan penyeludupan termasuk e-waste

Aset AKPS perlu ditambah, bantu kesan penyeludupan termasuk e-waste

Aset AKPS
MOHD. Dusuki Mokhtar (dua, kiri) bersama Mohd. Shuhaily Mohd. Zain meninjau pemeriksaan terhadap sebuah kontena ketika lawatannya dekat Pelabuhan Barat, di Klang, Selangor, hari ini. - UTUSAN / SADDAM YUSOFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLANG: Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) perlu diberikan aset tambahan dan anggota bagi memastikan kelancaran operasinya.

Ini kerana, pengesanan kontena yang membawa bahan terlarang termasuk sisa elektronik atau e-waste memerlukan bantuan peralatan dan mesin yang lebih canggih.

Peguam Negara, Tan Sri Mohd. Dusuki Mokhtar berkata, kerja mengesan bahan-bahan demikian adalah sukar dan memerlukan lebih ramai anggota dan pegawai.

“Perlu ada penambahbaikan kerana isu ini rumit. Pencarian, pengesanan dan pembongkaran kontena ini bukan kerja mudah, perlukan banyak anggota dan pegawai bagi memastikan kelancaran.

“Saya rasa sistem juga perlu ditambah baik, alat-alat, mesin diperlukan AKPS,” katanya ketika ditemui pada lawatannya ke Pelabuhan Barat, hari ini.

Jelasnya, beliau melawat Pelabuhan Barat bagi melihat sendiri operasi harian AKPS dengan butiran serta perincian hasil lawatan itu akan di bawa kepada Pasukan Petugas Khas Pelbagai Agensi (MATF) yang diketuai Jabatan Peguam Negara.

Kata Mohd, Dusuki, dari sudut perundangan, selain penggunaan Akta AKPS 2024, beberapa peruntukan undang-undang di dalam Akta Kastam 1967 dan Kanun Tatacara Jenayah yang boleh digunakan.

“Ada beberapa aspek perundangan yang kita bincang dalam melaksana Akta AKPS, kita boleh guna Akta Kastam dan Prosedur Tatacara Jenayah untuk kenalpasti dan jalankan operasi berkesan, boleh guna banyak sumber undang-undang.

” Tetapi yang penting kenalpasti apa isunya dan amalkan tatacara bertepatan dalam aspek pengoperasian dijalankan. Saya percaya akta sedia ada mencukupi cuma kaedah pelaksanaannya perlu diteliti,” ujarnya.

Sementara itu, Ketua Pengarah AKPS, Datuk Seri Mohd. Shuhaily Mohd Zain mengharapkan kerajaan mempertimbangkan pembekalan peralatan canggih bagi memudahkan pegawai dan anggota menjalankan tugas di lapangan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN