KUALA LANGAT: Seorang lelaki berusia dalam lingkungan 20-an sedang dikesan polis kerana disyaki mencuri duit tabung dari sebuah surau dekat Teluk Panglima Garang di sini, Ahad lalu.
Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Mohd. Akmalrizal Radzi berkata, pihaknya menerima aduan daripada seorang penduduk tempatan semalam yang mendapati tabung dekat ruangan di depan tandas perempuan dipecahkan.
“Hasil semakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) surau berkenaan mendapati suspek dipercayai seorang lelaki 20-an memecahkan tabung tersebut. Anggaran kerugian yang dialami kira-kira RM200,” katanya kepada pemberita, hari ini.
Tambahnya, ekoran laporan tersebut polis membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun, denda atau kedua-duanya sekali.
“Polis masih mengesan suspek. Orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian itu diminta untuk tampil ke balai polis berhampiran bagi menyalurkan maklumat atau menghubungi Bilik Gerakan Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Langat di talian 03-31872222.
Terdahulu tular rakaman CCTV memaparkan seorang lelaki menaiki motosikal masuk ke kawasan surau berkenaan untuk mencuri duit dari dalam tabung dekat ruangan berhampiran tandas wanita.
Lelaki itu juga kelihatan masuk dan keluar dari ruang solat sebelum duduk di sebelah tabung berkenaan dan memecahkannya dari bahagian bawah. – UTUSAN