KUALA SELANGOR: Menukar nombor lot premis berbeza bagi mengaburi pihak berkuasa, antara taktik sindiket perlombongan bitcoin yang menjadikan empat premis di Bandar Puncak Alam di sini, untuk beroperasi secara haram selain turut mencuri bekalan elektrik.
Perkara itu dikesan Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS) dan Tenaga Nasional Berhad (TNB) Selangor yang menyerbu premis dua tingkat di Taman Industri Alam Jaya dan Pusat Perdagangan Alam Jaya, kira-kira pukul 10 pagi semalam.
Pengarah Bahagian Penguatkuasaan MPKS, Mohamad Lutfi Mislan berkata, Ketika serbuan, semua premis di tingkat atas itu didapati berkunci dan terpaksa dipecahkan anggota penguat kuasa.
Menurutnya, operasi bersepadu selama empat jam itu membawa kepada rampasan 62 mesin bitcoin dan 18 kipas mesin yang dianggarkan mencecah RM300,000.
“Pemeriksaan mendapati semua premis itu tidak mempunyai lesen perniagaan yang sah dan menggunakan elektrik secara haram. MPKS mengeluarkan empat notis penutupan premis di bawah Undang-Undang Kecil Pelesenan Tred, Perniagaan dan Perindustrian MDKS 2007.
“Selain itu, TNB bertindak membetulkan pemasangan meter selepas mengesan unsur pengusikan,” katanya hari ini.
Tambah Mohamad Lutfi, semua barangan sitaan didaftarkan dalam inventori rasmi pihaknya dan tindakan lanjut akan diambil mengikut undang-undang sedia ada.
“Operasi seumpama ini akan diteruskan secara berkala menerusi kerjasama bersepadu pelbagai agensi penguat kuasa lain,” ujarnya. – UTUSAN