MELAKA: Polis Melaka tidak menerima sebarang laporan berhubung aktiviti sebuah madrasah di Selangor yang didakwa membeli sebidang tanah seluas 11 hektar di negeri ini bagi tujuan mewujudkan perkampungan Kerajaan 9.
Ketua Polis Melaka, Datuk Zainol Samah berkata, bagaimanapun pihaknya akan memantau kegiatan madrasah itu termasuk pemindahan operasi dari Selangor ke Melaka.
“Kita di Melaka tidak ada (terima) laporan yang dibuat berhubung aktiviti kumpulan ini. Bagaimanapun, siasatan rapi akan kita jalankan berdasarkan maklumat-maklumat yang diterima.
“Sehingga kini kita masih dalam siasatan oleh pihak Cawangan Khas, (jadi) tidak boleh didedahkan lebih lanjut. Sebarang tindakan selepas ini bergantung kepada maklumat yang kita perolehi,” katanya ketika ditemui pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka, Bukit Beruang di sini, hari ini.
Sebelum ini, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain mengesahkan, polis sedang memantau Mawla Mohamed Amin al-Hassani yang mengaku mempunyai jalur keturunan ke-38 Nabi Muhammad dan pengikutnya termasuk sebuah madrasah di Selangor.
Ia susulan tindakan seorang mudir madrasah terbabit yang aktif mempromosi Mawla Mohamed Amin dengan mengutip dana awam secara tidak sah, selain cuba mewujudkan satu perkampungan Kerajaan 9 di Melaka sebagai persiapan akhir zaman pengikutnya.
Bagaimanapun, Pertubuhan Nur AlMustafa Malaysia tampil menafikan dakwaan tersebut dan memberitahu, perancangan asal adalah untuk membina sebuah Kota Cinta yang bakal menjadi pusat pengajian Islam dalam sebuah komuniti yang mencintai Allah dan rasulnya.
Tambah Zainol, polis akan bekerjasama dengan Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) bagi memantau kegiatan kumpulan tersebut. – UTUSAN










