Sindiket jadikan Pantai Klebang transit dadah ke Dumai

Sindiket jadikan Pantai Klebang transit dadah ke Dumai

MOHD. KAMARUDIN Md. Din (dua dari kiri) bersama Ketua Polis Melaka, Datuk Zainol Samah (kiri) menunjukkan sebahagian dadah yang dirampas dalam sidang akhbar di IPK Melaka, Bukit Beruang, Melaka. - UTUSAN/SYAFEEQ AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Pantai Klebang di sini berkemungkinan dijadikan transit oleh sindiket pengedaran dan penyeludupan dadah antarabangsa sebagai jalan keluar ke Dumai, Indonesia.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Datuk Seri Mohd. Kamarudin Md. Din berkata, ini susulan tumpasnya satu sindiket selepas enam individu termasuk dalangnya ditahan dalam tiga serbuan berasingan di tiga negeri, Rabu lalu.

Beliau berkata, dalam serbuan kira-kira pukul 3 petang hingga 6.45 petang itu, pihaknya berjaya merampas pelbagai jenis dadah seberat 83.45 kilogram (kg) yang dianggarkan bernilai RM4.02 juta.

Katanya, kesemua suspek lelaki berusia antara 40 hingga 74 tahun ditahan dalam operasi khas JSJN Ibu Pejabat Polis Bukit Aman dan pasukan tindakan khas (PTK) Melaka, Pahang dan Johor.

“Dalam serbuan pertama, seorang suspek ditahan di kawasan Kota Syahbandar di sini ketika sedang memindahkan dadah ke dalam sebuah kenderaan lain. Polis merampas dadah jenis syabu seberat 51.95 kg dan serbuk ekstasi seberat 31.45 kg bernilai RM4.02 juta yang dianggarkan untuk kegunaan 365,000 penagih.

“Dalam serbuan kedua, polis menahan tiga suspek di Simpang Renggam, Johor manakala serbuan ketiga berjaya menahan dua lagi suspek di Genting Highlands, Pahang.

“Modus operandi sindiket ini adalah menggunakan jalan darat bagi menyeludup dadah masuk dari negara jiran di bahagian utara sebelum didedarkan melalui jalan laut ke Indonesia. Polis tidak menolak Pantai Klebang dijadikan transit oleh sindiket ini sebagai jalan keluar dadah ke Dumai,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka, Bukit Beruang di sini, hari ini.

Polis turut menyita sebuah kereta Toyota Vios dan sebuah kenderaan pacuan empat roda Nissan Navara serta wang tunai RM3,000 yang dianggarkan keseluruhan bernilai RM103,000.

Tambah Mohd. Kamarudin, sindiket dipercayai aktif sejak pertengahan 2023. Menurutnya, pihaknya sedang menyiasat sekiranya masih ada rakan pengedar yang bebas atau wujud penglibatan pihak lain.

“Saringan awal mendapati dua suspek positif dadah jenis methamphetamine dan lima suspek mempunyai rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah.

“Suspek direman selama tujuh hari bermula 22 Februari hingga 28 Februari ini bagi membantu siasatan. Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN