Buruh ditahan dipercayai rogol anak kandung

Buruh ditahan dipercayai rogol anak kandung

SUSPEK direman tujuh hari bagi membantu siasatan kes rogol membabitkan seorang remaja perempuan berusia 16 tahun yang juga anak kandungnya. - UTUSAN/SYAFEEQ AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Polis menahan seorang buruh bagi membantu siasatan kes rogol membabitkan seorang remaja perempuan berusia 16 tahun yang juga anak kandungnya sejak dua tahun lalu.

Suspek berusia 38 tahun itu ditahan kira-kira pukul 12 tengah hari di Kampung Kelemak Dalam, Alor Gajah dekat sini, semalam.

Ketua Polis Melaka, Datuk Zainol Samah berkata, pihaknya menerima laporan berhubung perkara itu pada 11 Oktober 2023 pada pukul 3.55 petang.

Katanya, pengadu yang juga pegawai perubatan Hospital Melaka memaklumkan telah memeriksa seorang pesakit bawah umur yang mengandung 19 minggu dipercayai akibat dirogol.

“Mangsa memberitahu dia mengalami sakit perut dan ibunya segera membawa anak kedua daripada tiga beradik itu ke Klinik Kesihatan Durian Tunggal. Pemeriksaan doktor mendapati mangsa mengandung dan dirujuk ke Hospital Melaka.

“Mangsa kemudian mengaku telah dirogol bapa kandung sejak berusia 14 tahun. Mangsa telah selamat melahirkan anak kira-kira pukul 1 tengah hari pada 5 Februari lalu,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Tambah Zainol, suspek bertindak melarikan diri sebaik perbuatan kejinya terbongkar.

“Bertindak atas maklumat pasukan D9 Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka dan Bahagian Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Alor Gajah telah menangkap seorang lelaki di tepi jalan Kampung Kelemak Dalam.

“Suspek yang bekerja sebagai buruh dan beralamat di Durian Tunggal mempunyai enam rekod lampau. Suspek direman tujuh hari bermula hari ini sehingga 13 Februari dan kes disiasat di bawah Seksyen 376 (3) Kanun Keseksaan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×