Remaja 13 tahun anggota geng curi motosikal

Remaja 13 tahun anggota geng curi motosikal

DUA anggota Geng Faiz Tanah Merah yang aktif melakukan jenayah curi motosikal sekitar daerah Melaka Tengah, Melaka.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Geng Faiz Tanah Merah yang aktif melakukan jenayah curi motosikal sekitar daerah Melaka Tengah tumpas selepas polis berjaya menahan seramai lima lelaki dan seorang perempuan dipercayai anggota kumpulan berkenaan, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, tangkapan dibuat ke atas kesemua suspek berusia di antara 13 hingga 40 tahun itu berjaya menyelesaikan sebanyak lapan kes curi motosikal dan samun sekitar negeri ini.

CHRISTOPHER PATIT

Beliau berkata, selain mencuri motosikal, modus operandi geng itu adalah menyamun dan melarikan motosikal yang mana setiap motosikal diperoleh akan diubahsuai dan dilerai untuk dijual serta kegunaan sendiri.

“Daripada enam suspek yang diberkas, seorang merupakan remaja bawah umur yang baru berusia 13 tahun. Suspek ini tidak lagi bersekolah manakala suspek perempuan merupakan teman wanita kepada salah seorang suspek.

“Susulan daripada tangkapan ini, polis berjaya menyelesaikan lapan kes curi dan samun motosikal di sekitar Melaka.

“Sebanyak enam kertas siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan dan dua kertas siasatan dibuka di bawah Seksyen 395 Kanun Keseksaan,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Tambah Christopher, kesemua suspek lelaki akan dituduh di mahkamah hari ini dengan pelbagai kesalahan antaranya Seksyen 395 Kanun Keseksaan, Seksyen 413 Kanun Keseksaan, Seksyen 379A dan Seksyen 170 Kanun Keseksaan, Seksyen 411 Kanun Keseksaan serta Seksyen 414 Kanun Keseksaan.

“Polis akan sentiasa bertindak proaktif bagi membanteras kegiatan penjenayah-penjenayah yang melakukan jenayah harta benda dalam daerah Melaka Tengah ini,” tegasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN