BACHOK: Jeritan anak bongsu telah menyelamatkan sebuah keluarga dalam kejadian kebakaran di Kampung Sri Sentosa di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 7.35 pagi itu, Normaizura M. Raduan, 43, berkata, dia terjaga selepas terdengar jeritan anak bongsunya, Mohd. Amir Alfa Rizqi Abdul Aziz, 4, yang melihat api marak membakar dinding rumah.
Normaizura berkata, sejurus menyedari rumahnya terbakar, dia membawa Mohd. Amir bersama dua lagi anaknya yang berusia 15 dan 18 tahun bergegas turun dari tingkat atas rumah tersebut.
Katanya, bahagian muka dan lengan kirinya sedikit melecur selepas terkena bahang panas api semasa keluar dari rumah tersebut.
“Saya tidak sempat menyelamatkan semua dokumen penting termasuk wang tunai RM700 yang disimpan untuk membuat bayaran pendahuluan membeli motosikal baharu.
“Apabila mendengar jeritan Mohd. Amir, saya dan dua anak terus lari keluar dari rumah untuk menyelamatkan diri sebelum mendapatkan bantuan penduduk kampung,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Normaizura memberitahu, selain rumah, sebuah kereta jenis Proton Satria miliknya yang berada di bawah garaj turut terbakar.
Katanya, dia mengesyaki kebakaran berpunca daripada litar pintas kerana ada mengecas telefon bimbit sebaik pulang daripada bekerja kira-kira pukul 2 pagi tadi.
Sementara itu, Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Bachok, Rosli Muhammad berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira pukul 8.13 pagi dan bergegas ke lokasi kejadian untuk memadam kebakaran.
Menurutnya, semasa tiba di lokasi kejadian, anggota bomba mendapati api sedang marak membakar sebuah rumah papan dua tingkat.
“Kebakaran dapat dikawal daripada merebak ke sebuah madrasah dan taman bimbingan kanak-kanak (tabika) yang berada di sebelah rumah tersebut.
“Api berjaya dipadamkan sepenuhnya kira-kira pukul 9.13 pagi dan punca kejadian masih dalam siasatan,” katanya. – UTUSAN











