Peningkatan prestasi calon SPM 2025 Sabah, Sarawak aset bernilai untuk negara - Mustapha - Utusan Malaysia

Peningkatan prestasi calon SPM 2025 Sabah, Sarawak aset bernilai untuk negara – Mustapha

MUSTAPHA SAKMUD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Peningkatan prestasi calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 di Sabah dan Sarawak disifatkan sebagai aset bernilai untuk negara, sekali gus mencerminkan kemajuan signifikan dalam sektor pendidikan di kedua-dua negeri berkenaan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak), Datuk Seri Mustapha Sakmud berkata, pencapaian di Sabah amat memberangsangkan apabila mencatatkan lonjakan ketara dalam hampir semua indikator utama.

Menurutnya, Gred Purata Negeri (GPN) Sabah meningkat daripada 5.00 kepada 4.85, sekali gus menandakan kali pertama negeri itu berjaya keluar daripada julat GPN 5 dalam sejarah prestasi pendidikan.

“Selain itu, peratus calon layak mendapat sijil turut meningkat kepada 95.60 peratus. Seramai 605 pelajar pula berjaya memperoleh keputusan cemerlang semua A.

“Manakala bilangan calon yang mencapai sekurang-kurangnya kepujian juga meningkat dengan ketara.

“Pencapaian ini bukan sahaja menunjukkan peningkatan dari segi kuantiti, malah kualiti apabila jurang pencapaian antara bandar dan luar bandar berjaya dirapatkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Mustapa, prestasi di Sarawak turut menunjukkan perkembangan positif apabila mencatatkan GPN 4.79, iaitu yang terbaik sejak 2013.

Katanya, seramai 853 calon di negeri itu berjaya memperoleh keputusan semua A, manakala jumlah calon yang mencapai sekurang-kurangnya kepujian turut meningkat.

“Sebanyak 27 sekolah pula mencatatkan kelulusan 100 peratus termasuk di kawasan luar bandar, sekali gus membuktikan akses kepada pendidikan berkualiti mampu melahirkan kecemerlangan tanpa mengira lokasi,” katanya.

Dalam pada itu, Mustapha turut menyarankan lepasan SPM agar berani meneroka pelbagai laluan pendidikan dan kerjaya termasuk bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), teknologi kecerdasan buatan (AI) serta industri semikonduktor yang kini menjadi sektor strategik negara.

Tambahnya, peluang dalam sektor tenaga baharu dan tenaga boleh diperbaharui seperti solar, hidro serta teknologi hijau juga wajar diterokai, terutama memandangkan potensi besar Sabah dan Sarawak dalam bidang berkenaan.

“Bidang ini bukan sahaja menawarkan peluang pekerjaan berkemahiran tinggi, malah membuka ruang kepada anak Sabah dan Sarawak menjadi peneraju dalam ekonomi digital, industri berteknologi tinggi serta pembangunan lestari di peringkat global,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN