Rokok seludup bernilai RM2.95 juta dirampas

Rokok seludup bernilai RM2.95 juta untuk pasaran Lembah Klang dirampas

ISKANDAR Ishak (tengah) menunjukkan rokok keretek yang dirampas dalam sidang akhbar di Pejabat Maritim Melaka dan Negeri Sembilan di Kuala Linggi, Melaka. - UTUSAN/MUHAMMAD SHAHIZAM TAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR GAJAH: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menggagalkan cubaan menyeludup masuk 4.27 juta batang rokok keretek yang dianggarkan bernilai RM2.95 juta di Tanjung Sepat, Selangor Isnin lalu.

Pengarah Maritim Melaka dan Negeri Sembilan, Kepten Maritim Iskandar Ishak berkata, hasil maklumat risikan dan bantuan Sistem Pengawasan Laut (Swasla) berjaya mengesan sebuah bot pancung dari negara jiran bergerak dalam keadaan mencurigakan di laluan Traffic Separation Scheme (TSS) menuju ke Tanjung Sepat, kira-kira pukul 11.30 malam pada Ahad.

Menurut beliau, aset APMM yang sedang melaksanakan rondaan Op Murni dan Op Tiris telah diatur gerak ke lokasi sejurus menerima maklumat.

“Bot yang dinaiki tiga suspek dipercayai warga asing itu cuba melarikan diri sebaik menyedari kehadiran anggota penguat kuasa. Berlaku kejar-mengejar selama 20 minit sebelum bot berwarna kelabu tanpa nombor pendaftaran itu dapat dipintas.

“Setelah bot dihimpit rapat ke kawasan bakau, suspek bertindak memecut laju dan berjaya meloloskan diri di hutan bakau. Keadaan gelap dan berlumpur menyukarkan pasukan operasi untuk mengesan kesemua suspek.

“Bot pancung tanpa tekong dan awak-awak ditahan di kedudukan 0.07 batu nautika barat daya Kampung Batu Laut kira-kira pukul 1.30 pagi. Pemeriksaan ke atas bot menemukan 400 kotak bersaiz besar yang ditutup dengan plastik dan guni disyaki mengandungi rokok seludup,” katanya dalam sidang akhbar di Pejabat Maritim Melaka dan Negeri Sembilan di sini, hari ini.

Tambah Iskandar, jumlah keseluruhan rampasan rokok keretek pelbagai jenama termasuk sebuah bot dan enam enjin 200 kuasa kuda jenis Yamaha dianggarkan bernilai RM3.15 juta.

Katanya, modus operandi dikesan dilakukan pada waktu malam tanpa mengira keadaan air pasang atau surut, sebaliknya bergantung kepada permintaan pasaran.

“Rokok keretek ini dipercayai untuk pasaran sekitar Lembah Klang. Saya yakin kes terbaharu ini ada kaitan dengan rampasan 4.8 juta rokok seludup pada bulan lepas di perairan muara Tanjung Gabang,” ujarnya.

Kes disiasat di bawah Akta Kastam 1967 kerana menyeludup masuk rokok ke Malaysia melalui jalan yang tidak diwartakan atau duti eksais. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya