KANGAR: Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak mahu semua pihak merasa bosan dan lemah apabila membicarakan soal tatakelola dan rasuah kerana perkara tersebut yang menjadi punca dan menyebabkan negara mula merudum.
Malah kata Perdana Menteri, berdasarkan pengalaman pemerintahan Khalifah Umar Abdul Aziz, ia sama sekali tidak bertolak ansur berhubung soal tatakelola.
Katanya, para ulama, sarjana, pemikir dan ahli politik khususnya jangan terlalu selesa sebaliknya menuntut untuk melihat perubahan dengan tidak mengizinkan sebarang kebobrokan dan kezaliman itu berlaku.
“Jangan kita rasa lemah dan bosan dengar soal bicara tatakelola dan rasuah kerana ini yang menyebabkan negara kita mula merudum.
“Sebab itu, pengalaman daripada Umar Abdul Aziz, tidak tolak ansur tatakelola ini. Amanah yang perlu dijaga sama Perdana Menteri, Menteri Besar, menteri-menteri.
“Pemimpin-pemimpin ini harus tahu dia pegang amanah untuk mengatur dan bukan hak dia untuk sakau sesuka hati. Sebagai Perdana Menteri. saya bertanggungjawab langsung kerana saya ketua eksekutif negara yang mesti bawa contoh yang baik, jangan izinkan rasuah bermula,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada program Perkampungan Sunnah Siri Ke-9 yang bertajuk Jihad Membina Negara di Masjid Alwi di sini hari ini.
Hadir sama, Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil; Menteri Besar, Mohd. Shukri Ramli dan Mufti Perlis, Datuk Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin.

Seterusnya, Anwar berkata, semua pihak sama ada pimpinan politik, para ulama, pemikir jangan mengekalkan tahap keselesaan lama khususnya daripada segi sikap dan pemikiran.
Tegasnya, perubahan perlu dilakukan dalam mendepani cabaran semasa.
“Kalau kita tak berubah tak mampu berdepan cabaran semasa. Sikap dan jihad membawa perubahan ini dan makna perjuangan itu, bukan soal keselesaam hidup semata-mata.
“Bangun daripada kealpaan, kecuaian, kelemahan kita, sama pimpinam politik, para ulama, sarjana, petani, nelayan, pekerja harus bangun bawa perubahan. Kalau selesa dengan
fahaman lama, tidak mungkin melonjakkan negara, kekuatan ekonomi, dan masyarakat dan umat ini,” katanya.-UTUSAN










