Pembekal air ketum diberkas polis di Chegar Medang, Bentong - Utusan Malaysia

Pembekal air ketum diberkas polis di Chegar Medang, Bentong

BUNGKUSAN air ketum yang ditemukan dalam dua buah tong ais dan bungkusan daun ketum yang dimiliki oleh suspek dalam serbuan di sebuah kedai Chegar Medang di Bentong, Pahang. - FOTO/IHSAN IPD BENTONG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BENTONG: Polis daerah ini berjaya melumpuhkan aktiviti memproses dan menjual air ketum di bandar ini apabila menahan lelaki tempatan berusia 24 tahun di Chegar Medang, di sini.

Dalam serbuan bahagian dapur sebuah kedai di kampung itu pada 17 Mac lalu iaitu pada pukul 2.45 petang, polis menemukan dua buah tong ais berwarna oren yang berisi cecair berwarna hijau dipercayai air ketum.

Ketua Polis Daerah, Superintenden Zaiham Mohd. Kahar berkata, hasil serbuan menerusi maklumat orang ramai itu, polis turut menjumpai 109 bungkus cecair dengan berat 136.25 liter dan enam bungkus plastik berwarna hitam berisi daun berwarna hijau dengan berat 46.5 kilogram disyaki daun ketum.

“Hasil siasatan polis, suspek berurusan pembelian daun ketum ini seminggu sekali dengan seorang lagi pembekal, iaitu di Mentakab dengan harga RM30 seberat 10 kilogram daun tersebut dan polis sedang giat mengesan pembekal daun ketum di Mentakab.

“Hasil siasatan, suspek menyewa di belakang kedai berkenaan sejak bulan Disember 2021, dengan memulakan aktiviti pemprosesan iaitu memasak dan membungkus air ketum sahaja sejak bulan Disember 2021,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurut Zaiham, suspek mula memproses ketum dengan memasak dan membungkus air (ketum) secara serius dengan kuantiti yang banyak bermula awal tahun ini dan menjual dalam kalangan kenalan terdekat di bandar ini dengan harga RM10 sebungkus.

“Suspek yang telahpun menjalani ujian air kencing didapati negatif ditahan selama empat hari mulai 18 Mac hingga 21 Mac ini untuk siasatan lanjut.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 30 (3), Akta Racun 1952 jika sabit kesalahan, dia bakal berdepan hukuman penjara maksimum empat tahun atau denda tidak melebihi RM10,000 atau kedua-duanya.

Zaiham berkata, dalam serbuan itu, polis merampas daun ketum seberat 46.5 kilogram bernilai RM2,325, 109 bungkus cecair seberat 136.25 liter bernilai RM1,090, dua buah tong ais berwarna oren dan sebuah alat penimbang warna hijau. 

“Saya menasihatkan orang ramai menjauhkan diri daripada aktiviti penyalahgunaan dadah dan ketagih air ketum, malah, polis akan mengambil tindakan berasaskan undang-undang terhadap mereka yang terbabit.

“Orang ramai perlu memberikan kerjasama dengan dengan menyalurkan maklumat sekiranya ternampak kegiatan tersebut termasuk jenayah lain kepada bilik gerakan IPD Bentong menerusi talian 09-2222222. –UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya