KUALA LUMPUR: Malaysia mempunyai keupayaan untuk menjadi sebahagian daripada rantaian bekalan senjata dan produk pertahanan global.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, Malaysia mempunyai kekuatannya sendiri terutama dalam menghasilkan dan membangunkan sistem teknologi maklumat (ICT).
Menurut beliau, sudah ada syarikat-syarikat tempatan yang menjadi sebahagian daripada rantaian bekalan produk pertahanan global.
“Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) cakap pasal kapal terbang apa semua, itu CTRM (CTRM Aero Composites Sdn. Bhd.) daripada Melaka, jadi sebenarnya sesetengah daripada mereka (syarikat tempatan sudah menjadi sebahagian rantaian bekalan global).
“Malaysia adalah sebuah negara yang mempunyai potensi untuk menjadi sebahagian daripada rantaian bekalan global. Bukan menghasilkan aset tetapi komponen-komponen dan sebagainya,” katanya ketika ditemui pemberita di Pameran Perkhidmatan Pertahanan ASIA (DSA) & Pameran Keselamatan Kebangsaan (NATSEC) 2026 di Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) di sini, hari ini.
Terdahulu, beliau hadir bagi merasmikan pavilion Kementerian Pertahanan (MINDEF) di DSA & NATSEC 2026.
Terdahulu, media melaporkan, dasar berkecuali Malaysia meletakkan negara ini sebagai rakan yang dipercayai kepada syarikat pertahanan dan aeroangkasa global yang ingin mengelakkan komplikasi politik yang semakin mempengaruhi keputusan sumber perolehan.
Oleh itu, Anwar menyeru pemain industri pertahanan, termasuk kontraktor utama dan pembekal Tahap Satu (Tier One), supaya memanfaatkan asas pembuatan berketepatan tinggi Malaysia ketika ketegangan geopolitik terus membentuk semula rantaian bekalan global.
Mengulas lanjut, Mohamed Khaled berkata, sudah banyak syarikat tempatan sudah mula tampil kedepan dan menonjolkan keupayaan mereka untuk bersaing di peringkat global.
Kata beliau, ia selepas kerajaan memperkenalkan dasar yang menetapkan syarat pembabitan sekurang-kurangnya 30 peratus syarikat serta kandungan tempatan dalam setiap perolehan pertahanan melalui Dasar Industri Pertahanan Negara (DIPN).
“Jadi syarikat-syarikat berasa yakin bahawa produk mereka yang telah diinovasikan atau mereka hasilkan sendiri akan diambil kira. Walaupun jumlah syarikat Malaysia kurang sedikit (penyertaan dalam DSA & NATSEC 2026) berbanding kali terakhir tetapi kita percaya sekarang kebanyakan syarikat adalah terdiri dari mereka yang menghasilkan beberapa komponen.
“Dulu mungkin banyak ejen tetapi kali ini banyak syarikat uang memang menghasilkan sendiri. Kita ada syarikat yang hasilkan peluru dan flare (suar). Kita juga ada syarikat yang yakin untuk mencadangkan kepada kerajaan untuk menghasilkan meriam artileri 105mm kita sendiri. Jadi semua ini kita sedang lihat,” katanya.
Tambahnya, perkembangan itu merupakan satu petanda yang baik dan kerajaan sedang memantau rapat kerana ia selaras dengan DIPN yang dibangunkan untuk Malaysia.
“Masa saya ucap dulu, saya kata bukan kita nak nuat kapal terbang semata-mata tetapi kita bermula dengan komponen dan semua perkara ini menjadi sebahagian daripada rantaian bekalan global,” katanya. – UTUSAN










