KUALA LUMPUR: Malaysia dan Arab Saudi mempergiat serta memperluas kerjasama dalam sektor kebudayaan dengan memberi tumpuan kepada beberapa bidang strategik yang berpotensi memberi manfaat jangka panjang kepada kedua-dua negara.
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing berkata, perkara tersebut menjadi antara fokus utama dalam mesyuarat bilateral bersama Menteri Kebudayaan Arab Saudi, Putera Badr Abdullah Farhan Al Saud.
Katanya, antara perkara yang disentuh termasuk usaha memperluas program pertukaran budaya secara lebih menyeluruh, meliputi bidang seni persembahan, warisan tradisional serta penglibatan penggiat industri kreatif dari kedua-dua negara.
“Selain itu, perbincangan turut merangkumi kerjasama dalam bidang penerbitan dan kesusasteraan bagi memperkukuh perkongsian ilmu serta memperluas capaian karya tempatan ke peringkat antarabangsa.
“Kedua-dua pihak juga meneliti potensi kerjasama dalam pembangunan institusi budaya termasuk muzium, galeri dan pusat warisan sebagai platform pemeliharaan serta pemerkasaan identiti budaya,” katanya dalam satu kenyataan.
Katanya lagi, sokongan terhadap penglibatan Malaysia dan Arab Saudi dalam platform antarabangsa berkaitan warisan dan kebudayaan turut menjadi keutamaan, sekali gus memperkukuh kedudukan kedua-dua negara di peringkat global.
“Cadangan penganjuran program bersama seperti minggu kebudayaan, festival seni serta inisiatif pertukaran artis dilihat mampu menjadi medium efektif dalam memperkenalkan keunikan budaya kedua-dua negara kepada masyarakat dunia.
“Langkah ini bukan sahaja meningkatkan kefahaman silang budaya, malah membuka peluang kepada penggiat seni untuk meneroka pasaran baharu,” katanya.
Dalam masa sama, beliau menegaskan Malaysia terus memberi penekanan kepada pembangunan pelancongan berasaskan budaya sebagai antara pemacu utama industri pelancongan negara.
Katanya, kerangka kerjasama sedia ada akan diperkukuh dengan memperhalusi pelaksanaan inisiatif yang dirangka bagi memastikan impak yang lebih mampan dan berkesan.
“Budaya dan pelancongan mempunyai peranan besar sebagai jambatan rakyat ke rakyat. Kerjasama yang lebih tersusun ini diyakini mampu memperkukuh hubungan Malaysia dan Arab Saudi serta membuka lebih banyak peluang baharu pada masa hadapan,” katanya.-UTUSAN










